11 Mei 2012

GEORGETOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kesal dengan tindakan sekumpulan ahli Perkasa yang cuba ‘membuat kacau’ di pekarangan kediamannya selain mencemarkan kebersihan dengan membuang poster di beberapa jalan di bandar raya ini semalam.

Beliau berkata, perbuatan kumpulan itu yang berhimpun di hadapan rumahnya pagi semalam adalah tidak bertamadun kerana turut menggantung gambarnya yang dikalung dengan bunga di hadapan pintu pagar sebagai simbolik sudah meninggal dunia.

Menurutnya, perbuatan ‘budak-budak’ itu juga menghina kaum India dengan mempersendakan ritual mereka.

“Mereka yang berkumpul di hadapan rumah saya inilah juga yang membuat kecoh pada perhimpunan anti-Lynas di Padang Kota Lama pada 26 Februari lalu.

“Perbuatan mereka ini bukan sahaja mengancam keselamatan saya, malah keselamatan ahli keluarga terutama anak saya yang berusia lima tahun,” kata beliau pada sidang media di sini semalam.

Guan Eng berkata, ketika kejadian itu beliau sedang bermesyuarat bersama ahli Exco di Komtar dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai tindakan ahli-ahli Perkasa.

Menurutnya, jika ingin meluahkan rasa tidak puas hati, mereka boleh berhimpun di Komtar dan menyerahkan memorandum kepada beliau, namun bukan dengan cara mengganggu ketenteraman di kawasan rumahnya.

“Kalau nak buat apa-apa demonstrasi mereka boleh buat di Komtar sebab mereka dah biasa buat di sini tapi jangan libatkan keluarga saya jika tidak berpuas hati dengan saya,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung.

Guan Eng juga kesal dengan perbuatan kumpulan berkenaan yang mengotorkan bandar raya dengan sengaja membuang ribuan poster berunsurkan provokasi.

Beliau berkata, perbuatan itu dilihat seolah-olah mahu menggagalkan usaha Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar yang bersih dan hijau.

“Perbuatan mereka ini telah menyusahkan petugas Majlis Perbandaran Pulau Pinang,” katanya.

Semalam, kira-kira 30 ahli Perkasa yang diketuai Ketua Wira Perkasa negeri, Mohd Rizuad Mohd Aizudin berhimpun di hadapan kediaman Ketua Menteri di Jalan Pinhorn dan di hadapan pintu masuk Komtar bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan Guan Eng.

Mereka turut melemparkan kira-kira 4,000 poster di sekitar negeri ini yang tertulis ‘Lim Guan Eng Anti Melayu’ sepanjang perhimpunan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, ketika ditanya mengapa enggan bertemu dengan kumpulan itu walaupun beberapa kali permohonan dibuat, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang enggan bertemu dengan kumpulan samseng.

“Bila kita berjumpa dengan mereka… mereka bukan menggunakan bahasa yang sopan tetapi bahasa yang kesat, bukan bahasa beradap tetapi bahasa yang lucah dan tidak senonoh.

“Sebab itu Kerajaan Negeri enggan melayan orang yang macam ini. Biar rakyat yang lihat gelagat mereka,” katanya. – Sinar Harian Online
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!