11 Mei 2012


DAP anggap PAS tiada hak cakap bagi pihak pakatan pembangkang isu hudud

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang tidak berhak bercakap bagi pihak pakatan pembangkang dengan menyatakan pembangkang akan melaksanakan hukum hudud jika memerintah negara.

Pengerusi DAP, Karpal Singh juga berkata, Hadi memang selalu berdolak-dalik dengan membuat kenyataan retorik tanpa sebarang justifikasi.

“Adalah dikesali, Hadi kebelakangan ini membuat kenyataan yang kemudian ditarik balik. Baru-baru ini, beliau berkata Perlembagaan Persekutuan akan dipinda untuk menggantikan Islam sebagai agama rasmi dengan Addin, walaupun Perlembagaan secara khusus memasukkan Islam sebagai agama rasmi.

“Kemudian beliau menyatakan tidak membuat cadangan sedemikian. Saya berharap Hadi berhenti daripada membuat kenyataan yang akan menjejaskan prospek pakatan untuk membentuk kerajaan dan memenangi lebih daripada lima negeri yang dimenangi pada pilihan raya lalu,” katanya dalam kenyataan akhbar, semalam.

Karpal juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Akhbar semalam melaporkan Hadi sebagai berkata jika pakatan pembangkang memerintah negara, hukum hudud hanya akan dilaksanakan apabila masalah pengangguran dan kemiskinan diselesaikan, serta penetapan gaji minimum dilaksanakan.

Beliau juga mendakwa ia sudah dibincangkan dengan DAP dan PAS tetap akan melaksanakannya walaupun tidak dipersetujui oleh sekutunya itu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika diminta mengulas, berkata Karpal tidak perlu campur tangan dan bimbang kerana undang-undang hudud tidak membabitkan bukan Islam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang tidak bersetuju dengan kenyataan Hadi mengenai masalah pengangguran dan kemiskinan di Malaysia.

Beliau berkata, masalah pengangguran dan kemiskinan tidak ada kaitan untuk menangguhkan hukum hudud kerana rakyat tidak menghadapi kebuluran sehingga menyebabkan mereka terpaksa mencuri untuk hidup kerana sumber rezeki amat luas di Malaysia.

Katanya, kebanyakan kes mencuri di Malaysia berlaku atas keinginan pelaku untuk hidup mewah dan mengikut nafsu, manakala kebanyakan masalah pengangguran berpunca daripada sikap malas berusaha dan memilih kerja.

“Tidak ada halangan untuk PAS melaksanakan hukum hudud. Dalam soal ini, tidak perlu berdolak-dalih, seolah-olah sengaja hendak meraih undi,” katanya.

Seorang lagi pengamal undang-undang syariah, Mohamad Isa Abd Ralip, menyifatkan kenyataan Hadi tidak berasas sama sekali kerana Malaysia negara yang makmur sehingga dijadikan lubuk emas oleh ramai pendatang asing. – Berita Harian Online
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!