4 Julai 2012


KUALA LUMPUR 3 Julai - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor didakwa terbabit dalam penyelewengan bernilai hampir RM1 bilion dan ia dikatakan dibuat dengan berselindung di sebalik pelan ‘menyelamatkan’ Talam Corporation Bhd. (Talam) yang dibebani hutang, dua tahun lalu.

Penyelewengan didakwa berlaku dalam dua bentuk iaitu membabitkan pembelian ‘penuh tanda tanya’ ke atas aset Talam berjumlah RM676 juta serta ‘misteri’ ke mana peruntukan RM392 juta yang diluluskan pada 2009 bagi menyelesaikan hutang syarikat itu dibelanjakan.

Perkara itu didedahkan Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong, selepas terkejut apabila mendapat maklumat kerajaan PKR Selangor belum menjelaskan hutang milik Talam ke atas beberapa buah syarikat meskipun bajet sudah diluluskan.

Menurutnya, Talam berhutang sejumlah RM392 juta dengan anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor iaitu RM227 juta melibatkan Universiti Selangor (Unisel) serta Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan baki RM115 juta lagi dengan SAP Holdings Berhad.


Katanya, kerajaan PKR Selangor juga mendapat peruntukan RM392 juta daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyelesaikan masalah hutang itu sebelum pengumuman dibuat kononnya kerajaan negeri berjaya mengutip semula semua hutang daripada Talam yang pengerusinya adalah Tan Sri Chan Ah Chye (gambar).

“Bagaimanapun, berdasarkan laporan kewangan tahunan pada 30 Mac 2012, Kumpulan Hartanah Selangor Bhd. (KHSB) menjelaskan kerajaan PKR Selangor masih berhutang sebanyak RM115 juta, ini menunjukkan tiada sebarang bayaran diterima oleh SAP Holdings seperti yang didakwa.
“Unisel juga tidak menerima sebarang bayaran. Jika sudah menerima kutipan semula hutang daripada Talam, Unisel tidak perlu menjual aset untuk mendapatkan RM30 juta bagi menyelesaikan isu pembekuan Permodalan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini.
“Kemudian kita dikejutkan dengan pembelian aset-aset Talam bernilai RM676 juta ketika peruntukan RM392 juta sudah diluluskan. Persoalannya ke mana semua duit itu dibelanjakan kerana hutang belum juga selesai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan semua aset Talam yang dibeli, cara penilaian dibuat serta asas yang digunakan semasa pelan ‘menyelamat’ dibuat kerana banyak kecurigaan di sebalik transaksi berkenaan.
Selain itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menuntut Abdul Khalid membentangkan kertas putih mengenai langkah pengutipan semula hutang daripada Talam jika benar kerajaan PKR Selangor mengamalkan akauntabiliti seperti didakwa.

“Sebelum ini, kerajaan PKR Selangor berjanji untuk membentangkan kertas putih mengenai kontroversi itu pada hujung tahun lalu, tetapi sehingga sekarang ia tidak menjadi kenyataan. Mengapa sehingga sekarang pembentangan kertas putih itu tertangguh," soalnya.
Menjawab soalan kemungkinan wang tersebut disalurkan kepada badan politik atau pihak ketiga, Tee Yong dalam nada sinis berkata, Abdul Khalid yang perlu menjawab persoalan tersebut kerana selaku Menteri Besar sudah tentu beliau lebih tahu.

Jelasnya, pendedahan yang dibuat kali ini baru permulaan kerana lebih banyak bukti penyelewengan dalam transaksi itu akan diketengahkan untuk perhatian rakyat sebelum ia dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan lanjut.

Sumber: Utusan Malaysia

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!