17 Februari 2013



Keputusan Jabatan Imigresen tidak membenarkan Senator Australia, Nick Xenophon memasuki negara ini dibuat tanpa sebarang campur tangan politik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keputusan melarang senator bebas itu masuk ke negara ini adalah tanggungjawab Ketua Pengarah Imigresen dan percaya tindakan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada. 

Katanya, kerajaan melalui Wisma Putra sudah pun memaklumkannya kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur. 
Rakyat Malaysia setiap minggu ada saja yang tidak dibenarkan masuk ke sesebuah negara dan diminta pulang... jadi tidak ada keistimewaan pun.

Saya harap perkara yang berlaku itu dapat diperjelaskan Ketua Pengarah Imigresen, katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah Anak Malaysia-Transformasi Rakyat di sini, semalam.

Beberapa portal berita Australia semalam melaporkan, Xenophon yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi semalam dihalang memasuki negara ini.
 
Portal berita The Australian memetik Xenophon sebagai berkata beliau sedang berada dalam tahanan di Malaysia.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad menafikan dakwaan media Australia bahawa Xenophon ditahan, sebaliknya hanya diletakkan sementara di pejabat Imigresen Terminal Tambang Murah (LCCT) sebelum dihantar pulang.

Alias berkata, Xenophon ditempatkan di Bilik Mesyuarat Pejabat Imigresen LCCT sementara menunggu penerbangan pulang ke Melbourne, yang dijadualkan jam 10.30 malam tadi.

Beliau dibenarkan berhubung dengan sesiapa saja termasuk bercakap dengan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia. Malah, kita juga menyediakan makan minum dan keperluan lain untuk keselesaan beliau, katanya ketika dihubungi semalam.

Menjelas lanjut, beliau berkata, Xenophon tidak dibenarkan memasuki negara ini kerana namanya disenarai hitam kerajaan Malaysia berikutan beberapa kenyataannya sebelum ini yang dilihat menimbulkan rasa tidak senang dan mengganggu kesejahteraan negara.

Alias berkata, setiap negara mempunyai garis panduan Imigresen dan menjadi hak jabatannya untuk menahan seseorang individu berdasarkan latar belakang dan maklumat yang diterima tanpa mengambil kira kedudukan mereka.

Xenophon adalah ahli parlimen bebas Australia yang mencadangkan Rang Undang-undang kepada Kerajaan Australia supaya menguatkuasakan pelabelan kandungan minyak sawit pada bungkusan produk makanan.

Cadangan itu menggambarkan seolah-olah minyak sawit dihasilkan melalui amalan tidak sihat dan tidak selamat untuk dimakan. Sekiranya diluluskan dan dikuatkuasakan Kerajaan Australia, ia akan menjejas pendapatan Malaysia sebagai pengeksport terbesar minyak sawit dunia.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!