7 Februari 2013



KUALA TERENGGANU 6 Feb. - Bangunan asrama yang menempatkan 90 pelajar tingkatan dua Maahad Darul Quran (MDQ) di dalam kawasan Masjid Rusila yang terbakar pagi semalam disahkan tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) dan Sijil Layak Menduduki (CF) sejak ia dibina 28 tahun lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Md. Salleh Sarbini (gambar) berkata, pembinaan bangunan itu tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa dan mengikut peraturan, bangunan tersebut perlu dirobohkan manakala pemiliknya boleh didakwa.

Katanya, ketika ini, siasatan sedang dijalankan dan hasil pemeriksaan awal mendapati laluan keluar masuk bangunan berkenaan tidak cukup selain jumlah kapasiti juga dipercayai tidak menepati syarat yang ditetapkan.


"Kita masih lagi memeriksa bangunan bangunan berkenaan dan memang kita dapati ia tiada CF manakal soal CF pula tidak pasti kerana ia dibawah pihak berkuasa tempatan. Selepas selesai siasatan kita akan hantar notis berkenaan kesalahan itu dan jika gagal dipatuhi pemilik bangunan boleh didakwa ke mahkamah di bawah seksyen 58 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM5000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali" katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan status blok-blok asrama dan pengajian di situ ketika ditemui pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPNT Tahun 2013 di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dekat sini hari ini.

Dalam kejadian itu sebuah blok asrama setingkat MDQ yang dihuni 90 pelajar maahad itu terbakar bagaimanapun ketika kejadian semua pelajar berada di dalam kelas.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi itu turut disedari Presiden Pas, Haji Hadi yang ketika itu berada di dalam sebuah bangunan di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga penasihat sekolah itu memberitahu sekolah itu mula beroperasi sejak 1985 dan ketika ini seramai 900 pelajar dari tingkatan satu hingga menengah atas tinggal dan belajar disitu.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang , Zulkifli Ali ketika ditemui memberitahu bangunan berkenaan difahamkan tidak mempunyai CF sehingga kini.

Jelas beliau pihaknya membuat pemeriksaan dan akan menghantar notis makluman kepada pemilik dan mereka perlu memohon CF segera bagi mengelakkan bangunan itu dirobohkan.

"Sepatutnya sebelum bina mereka perlu serah pelan baru boleh bina dan kita beri mereka CF, jika ikut peraturan memang boleh roboh tetapi bangunan ini sudah pun siap tidak mungkin kita akan buat macam itu. Masalah seperti ini memang banyak berlaku di semua kawasan dan kita harap pemilik lain juga dapat berbuat perkara yang sama sebelum dikenakan tindakan" katanya.  

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!