21 Mac 2013


Sejak tersiar berita tentang kematian wira-wira negara kita, saya tidak pernah lepas mengikuti berita di TV. Saya menangis sedih melihat perwira-perwira kita mati di medan perjuangan perang. Rasa sedih ini lahir ibarat kata orang cubit peha kiri, peha kanan terasa, kerana saya juga adalah dari keluarga pasukan keselamatan.

Apa yang keluarga mereka rasa hanyalah orang seperti kami keluarga anggota yang tahu perasaan sesama kami. menjadi isteri kepada anggota pasukan keselamatan secara tidak langsung bukan saja suami berkorban kepada negara malah isteri dan anak-anak pun berkorban untuk negara.


Isteri menghadapi tekanan perasaan menghadapi karenah anak-anak sakit demam, persekolahan dan segala masalah yang lain sendirian kerana suami selalu tiada.

Terpanggil rasa ingin meluahkan perasaan ini apabila membaca Utusan Malaysia bertarikh 13 Mac 2013. Apa yang diluahkan isteri polis berkenaan sama seperti isteri anggota lain rasakan.

Dulu VAT69 orang tidak mengenalinya sangat. Setelah peristiwa berdarah Lahad Datu barulah orang tahu VAT69 itu adalah anggota komando polis dan yang terbunuh itu adalah antara sahabat kami semasa di Ulu Kinta dulu.

Suami saya berkhidmat di dalam VAT69 selama 20 tahun lebih dan sekarang setelah usia menghampiri pencen suami bertugas sebagai polis biasa.

Pada awal 80an, semasa say baru kahwin pasukan VAT69 ini sering masuk hutan kerana komunis begitu banyak di negara kita.


Setiap kali menyambut perayaan sama ada Krismas, Tahun Baru Cina atau Raya Aidilfitri, suami-suami kami pasti ditugaskan masuk hutan kerana masa ini pihak komunis difahamkan bergerak aktif di musim perayaan.

Jadi untuk keselamatan rakyat dan negara anggota keselamatan seperti VAT69 pasti bertugas masuk hutan. Bayangkanlah ketika orang lain bergembira menyambut Hari Raya, kami isteri dan anak-anak muram kerana tak bersama dengan orang yang kami sayang, malah hati sentiasa cemas dan berdebar takut mendapat berita tak baik.

Disaat orang lain menimang cahaya mata bersama suami tercinta, kami ada kalanya menahan kesakitan dan kepayahan tanpa suami di sisi demi tugas untuk negara.

Tidakkah ini satu pengorbanan juga namanya bagi kami pihak isteri dan anak-anak? Dulu semasa suami saya bertugas di VAT69 amatlah susah dan perit.

Gaji tak setimpal dengan tugas yang dipikul. Elaun komando pada masa itu baru RM150. Bayangkan suami bertugas sebagai wireless bukan seperti sekarang segala alat hubungan serba canggih seperti internet dan sebagainya.

Suami saya pikul alat komunikasi dengan berat rasa-rasanya lebih 5 kilo dibelakang, peluru dan bom keliling pinggang. Dimasa itu saya amat sedih bila suami menyuruh saya memasak sambal ikan bilis buat bekalan di dalam hutan untuk sekian hari yang dijangkakan.

Kalau orang lain boleh bawa ration untuk bekalan seperti makanan dalam tin tetapi suami saya tidak, kerana alat wireless pun sudah hampir satu beg pack belakang. Untuk jimatkan ruang dan keberatan, suami terpaksa bekalkan sambal ikan bilis selama di dalam hutan. Itulah lauk yang dimakan setiap hari sampai pulang. Sedih memang sedih.

Di dalam hutan pukul 6 petang sudah gelap gelita, pernah suami bercerita dia dan kawan memasuki hutan 'bamboo' iaitu hutan berpaya, tidur berbantalkan ular sawa yang disangkakan kayu kerana terlalu gelap.

Ketika terlelap tiba-tiba terasa benda bergerak dan suami memberi isyarat pada kawannya senyap dan angkat kepala dan barulah mereka sedar itu adalah ular sawa yang sangat besar.

Pernah juga suami nyaris maut ketika mengambil air di sungai, bila mendongak ke atas bukit ada dua orang komunis sedang memandang serta menghunus senjata nak menembak, tetapi dengan kuasa Allah, pengganas itu tidak jadi menembak. Mungkin berfikir anggota keselamatan lebih ramai atau lebih baik melarikan diri saja. Berbagai lagi pengalaman ngeri yang tak dapat dituliskan disini.


Apabila Tian Chua menyatakan ini sandiwara, saya berasa amat marah kerana kami isteri-isteri anggota keselamatan saja yang tahu betapa susah dan berat tugas suami kami. Jika diikutkan hati rasa tak lalu nak makan duit gaji dari mereka, sedih dengan tugas yang bergadai nyawa tambahan pula gaji pada masa itu tidak seberapa.

Tapi apakan daya kami sekeluarga terpaksa berkorban. Sekarang apabila suami bertugas sebagai polis biasa,  suami menyatakan Tian Chua ini memang biadab orangnya, suka hasut bagi polis marah.

Untuk pengetahuan, semua kami isteri-isteri VAT69 amat rapat  dan akrab satu sama lain sebab pada tahun awal 80an tiada alat perhubungan komunikasi canggih seperti hari ini.

Apabila suami kami bertugas di dalam hutan, kami isteri-isteri bersepakat menjaga kebajikan keluarga kami iaitu susah senang bersama.

Sebagai contoh jika ada antara kami yang sakit jiranlah yang menjaga anak kami sementara kami berada di hospital. Atau kalau ada yang nak ke pasar, kami akan bertanya pada jiran-jiran apa-apa keperluan dikirim kerana sesama kami faham masing-masing ada anak kecil dan bersekolah, susah untuk bergerak ke mana-mana kerana suami bertugas.

Begitulah sedikit contoh betapa akrabnya kami sebagaimana akrabnya suami-suami kami di dalam hutan di mana pikul kawan kalau ada yang sakit atau tercedera, sampailah sekarang hubungan kami seperti saudara tidak terputus.

Apabila terpandang di TV anggota VAT69 terkorban, saya dan suami berasa sedih dan sangat marah dengan Tian Chua yang menyatakan ini sandirwara.

Saya yakin Tian Chua tiada saudara maranya yang bertugas sebagai pasukan keselamatan sebab itu dia tergamak berkata demikian. Hanya kami keluarga anggota keselamatan yang tahu perasaan sesama kami kerana kami isteri dan anak-anak yang merasakan segala kesukaran, kesedihan, risau, berdebar tatkala suami kami bertugas.

Memang benar setiap kali ada yang beruniform polis mengetuk pintu rumah, jiwa kami lagi kuat berdebar, takut mendapat berita yang tak baik. Wahai Tian Chua kamu tidak rasa apa yang kami rasa. Tian Chua dan Anwar Ibrahim adalah iblis yang bertopengkan manusia. Saya rasa tidak sabar menunggu untuk mengundi pada pilihan raya kali ini.

- ISTERI POLIS
1 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

1 Komen:

  1. Hanya mereka-mereka yg merasai payah jerih untuk sebuah harga keamanan sahaja yg tahu dan faham.

    BalasPadam

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!