3 April 2013

Mimpi-Mimpi Aneh Dap



Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli melenting apabila Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mempertikaikan manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat yang akan menjurus negara kepada kemelut defisit dan hutang negara yang parah.

Ahmad Husni berkata pelaksanaan apa yang disebut sebagai Manifesto Rakyat akan melonjakkan defisit ke paras 11.5 peratus manakala hutang kerajaan akan meningkat kepada 62.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri itu juga menjelaskan negara akan terpaksa berhutang untuk membayar gaji sekiranya manifesto pembangkang dilaksanakan.

Ahmad Husni juga berkata kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional hanya berhutang untuk membiayai perbelanjaan pembangunan bukannya untuk bajet pengurusan.

Dalam kenyataan media Ahmad Husni yang menyentuh mengenai janji-janji manis pembangkang berhubung soal ekonomi dan kewangan negara berjudul "Manifesto Pembangkang – Antara Realiti dan Fantasi", beliau mengungkap kejayaan negara mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus KDNK pada tahun 2009 kepada 4.5 peratus pada tahun 2012. 

Malah kerajaan terus komited untuk melanjutkan usaha mengurangkan defisit kepada 4.0 peratus pada tahun 2013 dan seterusnya sekitar 3.0 peratus pada tahun 2015.

Dari segi pertumbuhan ekonomi yang dipacu hasil daripada pelaksanaan inisiatif kerajaan dalam program transformasi, negara berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2012. 

Tatkala negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Eropoh masih dan sedang bergelut dengan krisis kewangan yang hampir melumpuhkan sistem ekonomi terutamanya sektor perbankan, kejayaan Malaysia adalah diibaratkan sebagai satu sinar harapan kepada dunia. 

Negara maju yang lain secara global hanya mencatat pencapaian kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah berbanding Malaysia seperti 2.3 peratus di Amerika Syarikat, Jepun 2.0 peratus, malah ekonomi Singapura pun mengecut kepada 1.2 peratus sahaja.

Negara Eropah malah lebih parah dengan Itali mencatat kadar pertumbuhan ekonomi negara iaitu -2.1 peratus dan United Kingdom pula -0.2 peratus.

Kejayaan kerajaan BN mengurus kewangan dan ekonomi negara terbukti dengan pelaksanaan dasar serta program yang pro dan mengutamakan rakyat seperti BR1M. Klinik 1Malaysia, KRIM, TR1M dan sebagainya.

Dasar ekonomi kerajaan yang pro-bisnes akan menarik pelaburan dan seterusnya denga pelaburan dalam dan luar negeri yang melimpah, kegiatan pembangunan negara akan lebih rancak.

Pembangunan negara yang pesat pula akan diterjemahkan dalam bentuk pelbagai jenis cukai yang dikutip dari ahli perniagaan dan pelabur yang menjadi jutawan, perniagaan yang untung berjuta-juta ringgit kepada bermacam-macam aktiviti-aktiviti sektor perniagaan dan perusahaan.


Daripada cukai yang dikutip inilah termasuk keuntungan berpuluh bilion ringgit yang dinikmati oleh syarikat petroleum negara, Petronas, negara mampu merancang, menjana serta melaksana segala program yang menguntungkan rakyat.  

Di bawah dasar tranformasi negara yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam bidang-bidang utama seperti pentabbiran, ekonomi, politik, sosial, digital, komuniti serta melalui pelaksanaan strategi Lautan Biru, negara semakin hampir kepada objektif negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2015.

Kekayaan ang diperolehi daripada pelbagai program ini dikongsi bersama serta diagihkan pula kepada rakyat jelata yang menikmati pelbagai kemudahan secara langsung.

Namakan sahaja segalanya disediakan kepada rakyat dalam tempoh empat tahun pentadbiran Datuk Seri Najib - pembinaan sekolah, hospital, klinik, jalan raya, bekalan elektrik dan air, bantuan kepada petani dan nelayan, subsidi barangan asas (gula, tepung, petrol, minyak masak,) serta pemberian bantuan tunai seperti BR1M, Baucar Buku, Bantuan Persekolahan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

Sehingga kini tidak ada mana-mana kelompok rakyat tidak mengira kaum, kepercayaan agama, jantina atau status ekonomi yang tidak menerima tempias kejayaan dasar ekonomi yang di bawa oleh kerajaan sekarang.

Hanya pembangkang yang tidak faham bagaimana melaksanakan dasar ekonomi yang mampan bertindak untuk memutar belit kejayaan ekonomi yang dicapai sehingga ini.

Dengan menggunakan statistik dan angka yang dikutip daripada pelbagai sumber yang tidak dikemaskini, pembangkang selalu ingin memburuk-burukkan usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

Mereka hanya pandai membuat bermacam-macam janji manis lagi palsu serta mengeluarkan manifesto yang berjanji untuk melakukan iti dan ini sekiranya berjaya menubuhkan kerajaan pusat, tetapi hakikat suasana ekonomi di empat buah negeri di bawah Pakatan Rakyat sudah cukup untuk menginsafkan rakyat akan pembohongan dan penipuan yang dilakukan pembangkang. 

Jika Manifesto Rakyat terlaksana, bermakna negara akan terjerumus dalam kitaran hutang yang tidak ada penyelesaiannya.

Dalam tempoh setahun sahaja Manisfesto Rakyat, pembangkang akan menyebabkan tahap defisit fiskal negara meningkat daripada 4.0 peratus kepada 11.5 peratus.

Hutang negara akan terus naik kepada paras yang merbahaya kepada 62.1 peratus KDNK.

Jika kerajaan mengalami defisit akaun semasa iaitu jumlah bermakna hasil tidak mencukupi untuk membiayai belanja mengurus, maka kerajaan terpaksa meminjam untuk membayar gaji, subsidi, pencen dan hutang negara.

Jika ini berlaku Malaysia akan negara mengalami krisis kewangan dan ekonomi sama seperti keadaan yang dialami oleh beberapa negara Kesatuan Eropah. 

Keadaan sekarang masih dalam kawalan yang baik kerana kerajaan hanya meminjam untuk menampung perbelanjaan pembangunan kerana kesan pengganda (multiplier effect) kepada ekonomi akan memberi jaminan kepada kemakmuran dan seterusnya kesejahteraan rakyat. 

Bagi menjamin keadaan ini berkekalan dan lestari, kerajaan sentiasa mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah dengan menetapkan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi 55 peratus KDNK.

Pembangkang hanya memikirkan populariti dan bagaimana untuk meraih sokongan rakyat dipeti undi.

Pembangkang membuat janji tanpa memikirkan kesan terhadap kestabilan ekonomi negara malah manisfesto pembangkang juga tidak mempedulikan implikasi kepada kedudukan kewangan kerajaan dan kesan herotan pasaran (market distortion) ke atas
ekonomi negara. 

Hasil daripada pengiraan kewangan yang tidak tepat akan menyebabkan rencatan dan penguncupan ekonomi seterusnya mendatangkan kesan sistemik di mana penarafan negara (sovereign rating) akan jatuh, jumlah pelaburan langsung asing berkurangan, ekonomi merudum, kadar pengangguran meningkat seterusnya meruntuhkan ekonomi negara dan menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Kemungkinan besar Rafizi yang hanya memikirkan isu lembu di dalam otaknya tidak mampu untuk mengambil kira faktor-faktor ini ketika mempertahankan manifesto pembangkang yang lebih indah khabar daripada rupa itu.

Seperkara lagi, pelaksanaan manifesto pembangkang akan meningkatkan lagi pemberian subsidi secara pukal dan tidak bersasar (non-targeted) di mana subsidi akan menguntungkan golongan kaya sahaja.

Ini akan menyebabkan jurang pendapatan rakyat bertambah luas.

Pembangkang ingin menjadikan negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebagai kayu ukur kepada kejayaan mereka mentadbir walaupun rakyat tahu dan sedar apa yang dilakukan di negeri terkaya itu adalah satu jenaka dan helah politik sahaja.

Pakatan Rakyat mahu menonjolkan imej bahawa mereka peka kepada perbelanjaan wang rakyat, oleh itu mereka pun mewar-warkan penjimatan sebanyak 24 peratus ke atas belanja kerja raya di Selangor.

Seperti Manisfesto Rakyat propaganda kaedah penjimatan ini juga tidak munasabah dan tidak masuk akal untuk digunapakai ke atas perbelanjaan Kerajaan Persekutuan. 

Ini kerana asas pengiraan penjimatan kerajaan negeri tidak dapat dijelaskan dan dipastikan. 

Secara logik, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan adalah jauh lebih besar dan rumit daripada perbelanjaan Kerajaan Negeri 

Maka setiap penjimatan juga perlu dilihat secara terperinci mengikut item yang terbabit.

Pembangkang dalam hal ini hanya membuat 'sweeping statement' atau kenyataan tangkap muat dengan tidak mengkaji setiap komponen dalam perbelanjaan Kerajaan Persekutuan. 

Sesetengah perbelanjaan yang diperuntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dikurangkan contohnya belanja Tanggungan Tertentu dan Pemberian kepada Negeri.

Ini merupakan kekal yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan yang menjadi has asasi setiap negeri di dalam Persekutuan.

Apabila pembangkang cubamembandingkan penjimatan perbelanjaan di negeri (dengan menggunakan contoh penjimatan pembinaan jalan raya) dengan perbelanjaan di peringkat negara, ini menunjukkan mereka
tidak ada akauntabiliti (mahupun mengerti apa itu akauntibiliti!) dan mengambil mudah semua perkara kerana perbandingan tersebut adalah tidak setara.

Seperti juga Ketua Pembangkang yang menjanjikan penurunan harga petrol dan bahanapi lain 24 jam setelah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri serta janji untuk memansuhkan PTPTN dan menaikkan royalti minyak daripada 5 peratus kepada 20 peratus.

Ini juga semua tergolong dalam kategori menanam tebu di tepi bibir serta tidak memperdulikan implikasi kepada struktur ekonomi negara. 

Seperti janji-janji lain pembangkang, perkiraan yang mereka buat adalah tidak tepat dan mengelirukan orang ramai. 

Penjimatan yang didakwa oleh pembangkang iaitu sebanyak RM49.5 bilion bagi membiayai cadangan manifesto adalah tidak realistik dan logik. 

Memandangkan penjimatan RM49.5 bilion ini adalah bersamaan dengan peruntukan pembangunan negarabagi tempoh setahun, ini bermakna kerajaan tidak akan dapat membina sekolah, hospital, jalan raya dan lain-lain kemudahan awam bagi memenuhi keperluan rakyat. 

Ini sudah tentu akan merencatkan pembangunan negara bahkan menjejaskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Oleh itu Manifesto Rakyat adalah retorik pembangkang semata-mata, penuhdengan fantasi tanpa mengambil kira realiti sebenar pengurusan ekonomi dan kewangan negara.

Malah yang lebih parah, manisfesto yang dijaja ke seluruh negara tidak ada kaitan pun dengan niat untuk mensejahterakan kehidupan rakyat.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib telah berjaya menguruskan ekonomi dan kewangan negara dengan cekap dan berhemah demi kesejahteraan rakyat.