26 Jun 2013


Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, tiada isu yang boleh mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan penglibatan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dalam kes pembunuhan model sambilan, Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah menyatakan, malahan tiada bukti yang boleh mengaitkan penglibatan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dengan Najib (yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri) dalam kes tersebut.

Mahkamah sebelum itu diberitahu, Abdul Razak pernah berbalas mesej dengan seorang pegawai polis, Deputi Supritendan Musa Safri bagi mendapatkan bantuan polis untuk menghalang wanita Mongolia itu mengganggu beliau dan keluarga.

Tun Abdul Majid menghujahkan, hanya kerana Abdul Razak mengenali Najib manakala Musa merupakan pegawai pengiringnya (ADC) ketika itu, tiada dakwaan atau kenyataan boleh dibuat untuk mengaitkan bekas Timbalan Perdana Menteri dengan kes berkenaan.

Hujah pendakwa raya, Abdul Razak yang pernah didakwa bersubahat dengan kedua-dua perayu telah dibebaskan daripada tuduhan dan tiada rayuan dikemukakan terhadap keputusan itu.

"Seseorang itu didakwa atas bukti keterangan kes, bukannya berpandukan kepada keterangan khayalan atau rekaan," ujar beliau pada sesi penghujahan balas.

Mahkamah sedang mendengar rayuan Azilah, 34, (perayu pertama) dan Sirul Azhar, 38, (perayu kedua) terhadap sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh Altantuya.

Kedua-duanya didapati bersalah membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun itu di antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang dekat sini.

Isu di antara Abdul Razak dan Musa dibangkitkan semalam oleh peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar iaitu Musa tidak dipanggil sebagai saksi sedangkan keterangannya penting bagi menjelaskan kandungan mesej di antaranya dengan Abdul Razak.

Bagaimanapun, Tun Abdul Majid menghujahkan, tiada keperluan memanggil Musa kerana Azilah dalam keterangan pembelaannya menyatakan dia tidak pernah menerima sebarang arahan daripada Musa untuk membantu Abdul Razak.

Selain itu menurut beliau, tiada bukti dapat menunjukkan, Sirul Azhar dan Azilah mengetahui tempat kejadian terlebih dahulu kerana Azilah bersedia menunjukkan tempat tersebut yang terletak di Puncak Alam 'secara agak-agak'.

Berhubung dakwaan Sirul Azhar tidak diadili secara saksama, menurut Tun Abdul Majid, isu itu tidak pernah disentuh semasa perbicaraan.

Beliau menyatakan, tidak mungkin hakim bicara akan terpengaruh dengan bahan-bahan yang dimuat naik dalam internet iaitu percakapan beramaran Sirul Azhar atau akuan bersumpah oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin.

"Apa yang cuba diketengahkan oleh peguam bela pada peringkat ini? Adakah kita kini menukar kamar perbicaraan kepada mahkamah untuk penulis-penulis blog berdasarkan keterangan atas dengar cakap akhirnya bertukar menjadi perintah mahkamah," hujah pendakwa raya.

Menyentuh dakwaan mengenai bahan letupan pula, Tun Abdul Majid menyatakan, bahan itu digunakan untuk latihan oleh Unit Tindakan Khas (UTK) dan tiada kemungkinan bahan yang tidak digunakan, tidak dipulangkan semula ke setor simpanan.

Pendakwa raya menghujahkan, Azilah mempunyai akses terhadap bahan letupan dan bukannya datang daripada pihak lain atau mana-mana pasukan keselamatan lain.

Pada akhir penghujahan, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mendapati, hakim bicara tidak langsung menyatakan dapatan fakta berhubung niat bersama walhal itu merupakan intipati pertuduhan yang dihadapi oleh kedua-duanya.

Tun Abdul Majid menyatakan, walaupun dapatan fakta tidak menyatakan mengenai niat bersama, hakim bicara telah menjelaskan dengan panjang lebar bukti keterangan berhubung penglibatan kedua-dua perayu dalam kes itu.

Mahkamah yang selesai mendengar penghujahan kemudian menetapkan keputusan pada satu tarikh lain bagi membolehkan mereka menyatakan pendirian masing-masing terhadap rayuan perayu-perayu.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Free Search Engine Submission

Blog Serius - Serius Beb!

Dari Bilik Berita

Loading...