8 Jun 2013


Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Biarlah hujan batu di negeri sendiri. Itulah antara pengakuan anak muda yang berjiwa besar menghabiskan waktu cutinya berkongsi ilmu pengetahuan bersama pelajar di negara yang beliau sendiri tidak pernah terfikir untuk sampai ke sana...Kemboja.

Tidak kedekut pengalaman sepanjang dua bulan di sana, Azlia Asmira sentiasa mengukir senyum ketika dibual bicara menceritakan pahit manis hidup di negara orang, lebih-lebih lagi di negara dunia ketiga dimana kehidupannya masih lagi mundur.

Penerimaan pelajar terhadapnya tidak mengecewakan. Malah pelajar-pelajarnya amat mengharapkan agar Azlia dapat kembali semula ke Kemboja menyambung ilmu yang telah dicurah. Menurutnya lagi, pelajar di sana lebih mengharapkan guru asing berbanding guru tempatan untuk mengajar mereka bahasa Inggeris. Ini kerana dengan adanya guru asing maka lebih cepat mereka mempelajarinya disebabkan tiada diselang seli dengan bahasa ibunda.

Ada juga dikalangan pelajarnya merupakan generasi mangsa yang pernah hidup semasa zaman kekejaman Pol Pot. Pelajar tersebut sangat berterima kasih dengan kerajaan sekarang yang mengembalikan semula keamanan. Dia tahu walaupun  negaranya tidaklah semaju negara lain, tapi keamanan yang dikecapi sekarang lebih bermakna dari segala-galanya. Biarlah hidupnya tidak semewah mana, namun dia bebas bergerak ke sana sini tanpa khuatir akan dibunuh seperti mana zaman Pol Pot.

Sementara itu cabaran yang tidak dapat dilupakan ialah oleh Azlia tentang makanan yang disediakan oleh pihak pengurusan asrama. Tidak yakin dengan status halal makanan tersebut, Azlia lebih memilih untuk mengambil sayur-sayuran dan mencari kedai muslim yang agak jauh dari penginapannya. Ini ditambah dengan kemudahan asas yang tidak berapa sempurna seperti mana di Malaysia. Namun itu semua bukan penghalang baginya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi kerana beliau sedar itulah pilihannya. Setapak melangkah, tiada lagi istilah menoleh ke belakang. 


Apa yang lebih bermakna lagi katanya, sepanjang tempoh mencurahkan bakti di sana, telah mengajarnya erti syukur. Syukur kerana beliau dilahirkan di bumi bertuah...Malaysia. Betapa nikmat yang Tuhan kurniakan kepada negara kita yang hidup dalam suasana aman dan makmur, disamping kemajuan ekonominya. Begitu juga dengan halal haramnya sesuatu makanan yang telah jelas statusnya.

Nasihatnya kepada mereka yang tidak tahu makna syukur, pergilah merantau ke negara-negara yang agak mundur dan susah, anda akan tahu betapa untungnya kita menjadi warga Malaysia. Segala cabaran dan pengalamannya di sana telah menjadikan beliau seorang yang lebih tabah menempuh hari mendatang.

Syabas anak muda!!! 
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!