5 September 2013


Buat pertama kali, kisah dua juruterbang adik-beradik - Henry dan Cyril Tallala – yang sehingga hari ini, merupakan antara sebilangan kecil warga Malaysia yang menyertai Royal British Air Force (RAF) semasa Perang Dunia Kedua, akan disingkap untuk orang ramai.

Bermula 15 Sept, Ahad 9 malam, penonton saluran History akan dibawa menyorot kembali ke zaman Perang Dunia Kedua di mana British yang merupakan sebahagian daripada Kuasa Bersekutu menentang Kuasa Paksi.

Henry yang berusia 24 tahun - menjadi juruterbang pejuang RAF sejak 1941 menerbangkan pesawat Typhoon yang membawa roket bagi Skuadron ke-182, manakala adik beliau Cyril, menerbangkan pesawat pejuang Spitfire bagi Skuadron ke-118. 

"Ketika Perang Dunia Kedua bermula, ia merupakan suatu kebiasaan sebagai sebahagian negara Komanwel untuk turut serta dalam usaha untuk memerangi fasisme. Dan sebagai seorang pemuda pada masa itu, kami begitu teruja memakai pakaian seragam," kata Richard Talalla, salah seorang adik Henry yang membesar bersamanya.

Pada Julai 1944, Henry berlepas bersama empat pesawat British Typhoon bagi memberikan sokongan udara kepada tentera darat Bersekutu yang menentang barisan pertahanan Nazi di selatan bandar Caen, Perancis Utara. Skuadron Henry ditugaskan menyerang barisan tentera di Fontenay Le Marmion dan menyatukan semula pembentukan pertahanan Jerman di selatan Caen. Ini membolehkan warga Amerika melancarkan Operasi Cobra bagi melepaskan diri dari barisan pertahanan Nazi di barat. 

Henry berada di dalam pesawat ketiga dalam kumpulan empat pesawat Typhoon. Semasa turun 60 darjah dan melepaskan roket, Henry diserang oleh Sokongan Darat Nazi dan hilang daripada kumpulannya. Henry ditembak dan terhempas 11 batu dari sasarannya.


Apabila mendengar berita itu, adiknya Cyril terbang sendirian menaiki pesawatnya ke Utara Perancis dan kembali ke zon pertarungan. Dalam keadaan yang terdesak, beliau menjejaki laluan penerbangan yang digunakan oleh Henry dan tidak menemui apa-apa.

Dua puluh satu hari selepas kemalangan itu, seorang petani Perancis, Louie Bree menemui sebuah kubur di sebelah pesawat yang rosak, yang dianggapnya ditanam oleh Gerakan Penentang Perancis. Selepas peperangan pada 1945, bapa Henry yang berbekalkan sedikit maklumat mengenai pesawat Henry daripada Kementerian Pertahanan Britain dan polis tempatan Perancis - terbang ke Perancis dan ke ladang Louie Bree di mana letaknya pusara Henry. Lima puluh tahun kemudian, kerajaan Britain menggali semula jasad Henry dan memindahkannya ke perkuburan tentera di Banneville Le Campaigne. Sejak itu, pada setiap tahun, kampung kecil Airan itu memberi penghormatan melalui acara kecil-kecilan kepada pejuang Malaysia itu. Salah seorang ahli keluarga Tallala akan turut menghadiri acara tersebut.

Pada tahun 2013, 69 tahun kemudian, salah seorang adiknya yang masih hidup memberi penghormatannya yang terakhir kepada Henry dan buat pertama kalinya, bendera Malaysia berkibar di memorial Bersekutu di Noyers Bocage dengan diiringi oleh lagu Negaraku. 


"Saya amat berbangga mendengar lagu Negaraku berkemundang di sebuah perkampungan kecil di Perancis," kata Reza Zainal, pengarah rancangan tersebut.

"Apabila tiba masanya untuk memperingati Henry, para penduduk dan datuk bandar melibatkan diri dalam acara yang merupakan sebahagian sejarah penting mereka. Pertama kali saya ke sana pada 1994 bersama 16 ahli keluarga yang lain, acara tersebut amat menyentuh perasaan," kata anak saudara Henry, Piers Talalla.

Daripada adik-beradik dan anak saudara Henry Tallala yang masih hidup, kepada juruterbang-juruterbang Typhoon Britain terakhir yang masih hidup, rancangan ini juga menyatukan penglipur lara pada masa itu.  

Selain daripada gambar dari koleksi peribadi Tallala, penonton juga akan menyaksikan rakaman arkib unik mengenai peranan Typhoon semasa Perang Dunia Kedua dari Muzium Perang Imperial London dan lakonan semula yang mengisahkan perjalanan terakhir Henry.

Bersama dengan sebilangan penduduk kampung di Utara Perancis - Henry Tallala sememangnya adalah pejuang Malaysia yang telah dilupakan.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Komen

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!