29 November 2013


Seakan menyepi setelah sekian lama, Cico Harahap Rashid, pelakon yang mula dikenali melalui filem Puteri Impian ini sedar akan cerita mengenainya dan isu-isu panas mengaitkan nama Cico di dalam Internet dan media massa lain.

Akan tetapi anak tunggal bintang lagenda Uji Rashid ini mengambil segala dugaan ini dari sudut positif dan menganggap ia juga pengajaran buat dirinya.Membesar sebagai anak kepada selebriti terkenal, Cico atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin,36 memilih untuk tidak mengendahkan segala permainan serta asam garam hidup menjadi selebriti. 

Ketika ditemui di set penggambaran drama aksi bersiri Jiwa di Stadium Titiwangsa, Cico sekadar mengulas dan menyatakan bahawa apa yang dilaluinya ini cuma sedikit dan mahu ia berlalu begitu sahaja tanpa memanjangkan lagi cerita.

“Saya tahu mengenai isu ini dan mungkin mereka tidak tahu bahawa saya bukan berada di pulau itu untuk berparti tetapi saya menjadi jurulatih selam dan bila waktu malam saya bekerja sambilan di bar sekitar pantai.

“Masih ada peminat yang mengenali saya dan ada yang mahu ambil gambar dan mungkin gambar yang dikongsinya itu diambil dan disebarkan. Saya kerja kutip tin di bar-bar yang ada di sekitar pulau jadi ia sekadar reaksi spontan saya jika disapa untuk bergambar.

“Bukan sahaja itu, ada lagi hal lain yang saya hanya mampu dengar dan tengok sahaja. Sebagai manusia saya tidak boleh lari daripada kesilapan. Saya redha dengan dugaan ini dan belajar daripada kesilapan zaman lalu,”ujarnya yang bakal tampil dalam siri aksi arahan Khabir Bhatia, Jiwa tidak lama lagi.

Selain daripada itu, dia turut mengesahkan status dirinya kini setelah bercerai hampir 3 tahun lalu dan kekal solo sehingga kini. Perkahwinannya dengan bekas isteri Nur Fuziana turut dikurniakan cahayamata Rindu Nurfitrah yang kini dibawah jagaannya.

“Saya dah bercerai dengan bekas isteri hampir tiga tahun dan buat masa ini saya tidak mempunyai teman yang boleh dianggap istimewa. Ada seorang ini saya masih mengenali dirinya tetapi belum sampai ke tahap yang serius.

“Lagipun anak saya ada bersama dan dijaga oleh saya dan mama (Uji Rashid), tidaklah kesunyian bila ada anak menemani saya,”ujarnya yang turut membawa anak perempuannya ke set Jiwa mengimbau nostalgia ketika dia mengikuti ibunya ketika penyanyi itu mengecap populariti di era 70’an.

Dek kerana musim tengkujuh di pantai timur, Cico menerima tawaran daripada Khabir Bhatia untuk tampil di dalam Jiwa disamping Remy Ishak, Kamal Adli dan ramai lagi sebagai memenuhi masa terluang. Selain itu dia juga melihat kelainan watak yang diberikan Khabir dan timbul keinginan untuknya mencuba kerana berkira-kira ingin membuat comeback semula dalam dunia lakonan.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!