14 November 2013


Kecoh di laman-laman sosial mengenai seorang artis tersohor menegur seorang Menteri muda.  Mungkin politik Malaysia sudah benar-benar ketandusan isu sehinggakan perkara sebegini juga dijadikan isu.   

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa akhir-akhir ini, dunia politik dan dunia hiburan seolah-olah sedang bersaing dari segi merebut tempat dalam carta populariti.  

Suatu ketika dahulu, dunia hiburan dilihat sebagai dunia gelap golongan bahawan manakala dunia politik pula adalah tempat orang-orang terhormat, yang bijak dan berpandangan jauh yang mampu memimpin dan membawa negara ke hadapan. 

Entah kenapa, kedua-dua dunia ini hari ini telah mengalami pertembungan.   Kedua-duanya penuh dengan skandal dan lumpur dan kedua-duanya menyaksikan perlumbaan populariti yang memualkan.  Hari ini kita lihat pak-pak Menteri dan artis bagaikan sama saja dari segi ‘gila glamour’. 

Lebih malang bagi Malaysia ialah apabila artis tampak lebih bijak dari Menteri.   Artis juga lebih berhemah dan terhormat berbanding Menteri.  Malah artis pula terpaksa menegur Menteri. 

Jika artis perlu membuat kenyataan kontroversi untuk menarik perhatian, maka menteri juga menggunakan taktik yang sama untuk menonjolkan diri.  Sang Menteri akan bercakap apa sahaja asalkan dapat menempelkan muka di akhbar.  Akhirnya, keluarlah kenyataan-kenyataan yang kurang bijak dan tidak bijak langsung dari mulutnya. 

Sebagai seorang yang bertaraf pemimpin dan seringkali mendabik dada sebagai ‘bijak’, kita menjangkakan respon yang matang dari sang Menteri setelah ditegur oleh artis itu.  Bagaimanapun, beliau nampaknya mengambil keputusan untuk berdiam diri dan membiarkan sahaja penyokongnya menyerang balas. 

Sikap mendiamkan diri sedang isu terus hangat menunjukkan keangkuhan Menteri tersebut, sekali gus membangkitkan rasa muak di kalangan rakyat terhadap gelagat penyokong yang sanggup berkata apa saja demi membela pemimpin mereka. 

Mungkin sang Menteri enggan melayan teguran seorang artis kerana menganggap artis sebagai orang bawahan.  Namun, itu hanyalah anggapan beliau.  Anggapan rakyat pula, artis tersebut lebih berhak dihormati kerana terkenal dengan adab sopan serta kerja kerasnya untuk berjaya sedangkan sang Menteri pula terkenal dengan tidak perlu berbuat apa-apa untuk menjawat jawatannya. 

Apa yang berlaku telah mengalihkan isu daripada isu sebenar iaitu ‘bolasepak’ kepada isu adab.  Manakala daripada isu adab pula kini dikaitkan dengan politik.   Semuanya bertitik tolak dari sikap tidak tahu adab berpolitik di mana semua perkara ingin dipolitikkan atau digunakan untuk kepentingan politik. 

Jika sang Menteri kurang beradab, itu mungkin merupakan masalah yang berpunca dari cara didikan di rumah dan merupakan masalah peribadinya.  Tetapi jika Menteri tidak tahu adab berpolitik, maka kelam kabutlah negara hanya kerana sang Menteri ingin mencari publisiti. 

Matlamat politik adalah untuk memastikan negara dapat berfungsi dengan baik bukannya untuk mencari populariti.  Politik itu sendiri membawa bersamanya peraturan.  Manusia yang bertamadun sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk mengikut peraturan.   Tanpa peraturan dan adab, manusia akan kembali ke zaman jahiliah. 

Justeru, seorang pemimpin yang memikul tanggungjawab untuk membawa negara ke hadapan wajib mempunyai adab sopan yang tinggi. 

Di dalam Islam, adab melambangkan darjat yang tinggi.  Kegagalan memahami semua ini menjadikan dunia politik Malaysia dipandang semakin rendah dan semakin hina setiap hari. 


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Free Search Engine Submission

Blog Serius - Serius Beb!

Dari Bilik Berita

Loading...