24 Disember 2013


Enam tahun bermastautin di Australia, baru kali ini bekas pelakon, model dan pembaca berita TV3, Zainol MacWilson, berkesempatan membawa keluarga bercuti di Malaysia. 

Pulang ke kampung halaman untuk menziarah sanak saudara, pada masa sama dia cuba mengintai peluang untuk kembali ke layar perak atau layar kaca. 

Itulah dia jiwa anak seni. Tiada istilah noktah dalam kerjaya walaupun terpisah dari segi geografi. 

Bertemu lelaki berdarah kacukan Inggeris-Melayu ini dalam sei fotografi yang diatur khas memberi peluang HIP mendasari hatinya - betapa keinginan untuk berlakon masih menebal dalam diri. 

"Saya rindukan peminat yang selama ini begitu setia menyokong kerjaya saya. Sememangnya saya sangat terharu apabila mereka masih mengenali dan mengingati saya. Beberapa tahun lalu, saya pernah ditegur peminat sewaktu berada di United Kingdom. Mereka bertanya adakah saya Zainol MacWilson? 

"Mula-mula saya cuba bermain teki-teki dengan mereka. Namun selepas melihat mereka begitu bersungguh, akhirnya saya pun mengaku. Situasi seperti itu sangat menyentuh hati saya," kata bapa kepada empat cahaya mata ini. 

Katanya, walaupun kini menetap di Perth, namun jangan sangka dia langsung tidak mengikuti perkembangan dunia hiburan Malaysia. 

"Walaupun tidak kesemuanya, tetapi saya mengetahui perkembangan serba sedikit mengenai dunia hiburan kita. Selalunya, ahli keluarga yang datang ke sini akan membawakan majalah dan DVD filem Melayu untuk ditonton," katanya. 

Begitu menggemari filem komedi arahan Prof Madya A Razak Mohaideen, Zainol menaruh harapan satu hari nanti dia dapat beraksi di bawah produksi sutradara itu. 

"Saya banyak menonton filem arahannya dan saya suka dengan genre komedi diketengahkan. Besar harapan saya supaya satu hari nanti saya dapat berlakon dalam filemnya. Jangan ingat saya hanya boleh berlakon watak serius," katanya yang juga bertutur dalam loghat utara. 

Sepanjang dua jam pertemuan petang Jumaat lalu, Zainol banyak bercerita dan mengimbas kembali saat manis dan duka ketika bergelar artis. 

Seronok apabila hasil kerja dihargai dan paling menghiris hati apabila ada pihak membuat cerita buruk mengenainya. Selain itu, ada juga kawan baik yang bersifat kacang lupakan kulit. 

"Sampai sekarang saya bengang dengan sikap pelakon wanita ini yang mendakwa saya mati kerana AIDS, walhal waktu itu saya menetap di luar negara. Mujurlah saudara saya yang mendapat tahu mengenai berita palsu itu memberikan penjelasannya kepada pihak berkenaan. 

"Saya juga sedih apabila seorang teman seangkatan bersikap tidak mengenang budi. Sebelum terkenal, sayalah orang yang membawanya ke dalam industri. Bukanlah saya mengharapkan pujian, tetapi apalah salahnya jika dia menyebut nama saya sebagai orang yang memperkenalkannya ke dunia seni. Ini apa yang berlaku adalah sebaliknya," keluh Zainol.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!