29 April 2014


Polis menahan bekas pemandu Nurul Hidayah, anak sulung Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi membantu siasatan berhubung kecurian di rumahnya di Country Heights, Kajang pada Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di rumahnya di Seri Kembangan pada pukul 1 pagi semalam.


Katanya lelaki terbabit dipercayai menceroboh masuk ke dalam rumah bekas majikannya menggunakan kunci rumah yang diberikan kepadanya ketika dia masih berkhidmat dengan Nurul Hidayah.

"Siasatan awal bagaimanapun mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk dalam kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Keselamatan Jalan raya dan Pemanduan Berhemah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di
sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu ditahan reman sehingga esok. Pada kejadian Sabtu lepas, lelaki itu dipercayai melarikan dua utas jam tangan serta wang tunai RM1,000.

Dalam kes berasingan, Abdul Rahim berkata seorang lelaki ditemui mati di kaki lima di Jalan Seapark, Petaling Jaya, awal hari ini.

Beliau berkata mayat suspek yang berusia dalam lingkungan 40 tahun ditemui berdekatan sebuah farmasi di kawasan itu pada pukul 4.13 pagi. Katanya lelaki terbabit dipercayai cuba memecah masuk sebuah pejabat guaman dengan menendang pintu premis sebelum cedera di paha kanan akibat tertusuk kaca dan mati di tempat kejadian disebabkan pendarahan teruk.

"Kejadian dilaporkan oleh seorang peguam yang kebetulan memasuki pejabat pada pagi itu," katanya.

Mayat suspek dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Polis menemui sebuah beg sandang dan beberapa peralatan pecah rumah dipercayai milik suspek di tempat kejadian.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!