18 Julai 2014


Malaysia sekali lagi diuji dengan tragedi pesawat 777 dari Syarikat Penerbangan Malaysia semalam.  MH17 dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur dikhabarkan telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu di Ukraine, berdekatan sempadan Russia. 

Setakat ini, pihak Russia mengesyaki ia ditembak oleh kumpulan gerakan pemisah yang berpusat di bandar Donestsk.  Sebelum ini, kumpulan itu telah berjaya menembak jatuh beberapa pesawat tentera Ukraine. Namun, kali ini, sama ada sengaja atau tidak, mereka telah menembak sebuah pesawat penumpang yang tidak berdosa. 


298 nyawa yang tidak terlibat dengan konflik di Russia telah hilang.  Walaupun MH17 bukan seperti MH370 yang pergi tanpa penutup, perasaan sedih bercampur dengan perasaan marah tetap dirasai.  Kepada siapa hendak dilepaskan kemarahan dalam kejadian yang kita tahu merupakan takdir Ilahi ini?   
Sekurang-kurangnya MH17 mampu memberikan kita jawapan itu.

Jelas sekali pihak yang telah menembak MH17 amatlah tidak bertanggungjawab dan bertindak tanpa usul periksa.  Ini kerana pesawat itu berada di atas laluan komersial yang sibuk serta tidak langsung memasuki zon konflik.  Tidak ada alasan sama sekali untuk mana-mana pihak untuk menganggap tragedi ini sebagai ‘kemusnahan sampingan’ dalam peperangan.

Ertinya, MH17 seratus peratus tidak bersalah dan pihak yang menembaknya adalah seratus peratus bersalah.  Sekali gus, tiada sebarang ruang untuk mana-mana pihak untuk memanipulasi kejadian ini serta menyalahkan kerajaan, juruterbang mahupun MAS.  Tiada juga alasan untuk sesiapa mempolitikkan apa yang berlaku. 

Ini berikutan pendedahan pihak Russia mengenai rakaman komunikasi antara Igor Bezler iaitu Komander bagi kumpulan pemisah Donetsk dengan orang-orangnya yang berkata bahawa mereka telah menembak jatuh sebuah pesawat.  40 minit kemudian, satu panggilan kedua diterima dari seorang yang bergelar ‘Major’ yang menyatakan “ia adalah 100 peratus sebuah pesawat penumpang, tiada senjata langsung.”   

Walaubagaimanapun, siasatan terus dijalankan untuk memastikan punca sebenar kenapa kejadian ini boleh berlaku. 

Dunia mengutuk kecuaian pihak yang menembak pesawat itu.  Australia menganggapnya sebagai ‘jenayah yang tak terungkap’.  Kerajaan Malaysia pula seperti biasa, mengendalikan berita ini dengan tenang dan pantas.  Kerajaan telah menuntut laluan langsung ke kawasan kejadian dan juga capaian terus kepada proses penyiasatan. 

Harapan kita agar siasatan berjalan lancar dan hasilnya dapat diumumkan secepat mungkin.  Walaupun siasatan yang rapi tetap tidak mampu membawa mereka yang pergi kembali, namun sekurang-kurangnya ia dapat memberikan satu ‘penutup’ yang pasti. 

Seperti yang dikatakan di awal tadi, ujian ini bukan hanya untuk sanak keluarga, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia.  Semoga setiap tragedi yang berlaku menjadi pengajaran dan merapat serta menyatukan kita kembali sebagai warganegara ini. 

Alfatihah kepada yang beragama Islam dan takziah kepada keluarga yang terlibat.

Semoga mereka tenang di sana… 
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!