21 Julai 2014


Perdana Menteri Britain, David Cameron menegaskan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin bahawa dunia sedang memerhatikan tindak-tanduknya dalam menangani isu nahas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 dan beliau mesti mengubah cara bertindak, lapor media negara itu.

The Telegraph melaporkan Cameron memberitahu Putin sikapnya yang berlengah membuka akses lokasi nahas kepada pasukan penyiasat "sangat tidak dapat diterima dan tidak dapat dipertahankan".


Mail Online yang memetik sumber Pejabat Perdana Menteri melaporkan Cameron tegas memberitahu Putin "tindakan menembak pesawat itu tidak dapat diterima" dan Rusia mesti menunjukkan bukti kukuh pemisah yang ia dukung tidak harus dipersalahkan.

Perdana Menteri itu memberi amaran kepada Putin supaya menarik balik sokongannya kepada pihak pemisah Donetsk atau "kroni-kroninya" akan berdepan sekatan tambahan.

"Menteri Luar Eropah akan bermesyuarat di Brussels pada Selasa untuk menimbangkan sekatan tambahan ke atas Rusia ekoran sikap berlengahnya ini. Dunia sedang memerhati dan Presiden Putin mesti mengubah caranya dan berusaha membawa kestabilan di Ukraine Timur," kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri di Downing Street, seperti dipetik oleh beberapa media di London.

Putin pada Ahad akhirnya dapat berbual dengan Putin melalui telefon selepas Presiden Rusia itu dikatakan mengelak untuk bercakap dengannya sejak empat hari yang lepas.

Penerbangan MH17 membawa 298 orang yang semuanya disahkan terbunuh termasuk 10 warganegara Britain.

Tidak lama selepas perbualan telefon dengan Putin itu, Cameron menghebahkan mesejnya kepada Putin melalui Twitter.

Sementara itu, agensi berita Rusia, ITAR-TASS melaporkan Putin meminta Cameron supaya tidak tergesa-gesa membuat rumusan dan mempolitikkan kenyataan sehingga semua siasatan selesai.

Beliau juga menyatakan komitmen dan kesediaan Rusia untuk meneruskan bantuan dalam mengelola dan menjalankan siasatan ke atas nahas itu.

"Sehingga semuanya selesai, adalah penting kita tidak membuat penilaian tergesa-gesa dan kenyataan berbaur politik," kata agensi berita itu.

Putin juga merakamkan takziah atas kematian warga Britain yang menaiki pesawat berkenaan.

Perbualan telefon Cameron itu dibuat selepas beliau mencapai persetujuan dengan pemimpin Jerman, Angela Merkel dan Presiden Perancis, François Hollande untuk satu tindakan lebih tegas ke atas Rusia.


Sekatan itu, yang dijangka akan dipersetujui dalam mesyuarat di Brussels pada Selasa, akan dikenakan kepada orang perseorangan serta syarikat yang menyokong serangan Rusia ke atas Ukraine.

Dalam pada itu, Cameron juga menghubungi Perdana Menteri Australia, Tony Abbott  pada Ahad bagi membincangkan isu-isu pasca nahas MH17.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!