18 September 2014


Lagu Pada Syurga Di Wajahmu pastinya cukup mengingatkan peminat pada kelunakan vokal Nash. Kini, meskipun sudah berusia 55 tahun bekas vokalis Lefthanded itu masih lagi berbisa.

Biarpun tidak muncul dengan lagu baru, Nash tetap aktif dalam karier seninya. Pun begitu, sekarang apa yang lebih membahagiakannya adalah masa bersama anak-anak dan cucu tersayang.

Baru-baru ini, di kediamannya di Shah Alam, Nash atau nama sebenarnya, Jamaludin Elias mengadakan majlis kesyukuran dan aqiqah cucu kedua, Kyra Rose Nasha yang berusia 33 hari. 

Jelas tergambar riak kebahagiaan pada wajah Nash walaupun berstatus bapa tunggal. Ditemui pada majlis itu, ‘atuk rocker’ ini berkata, kehidupannya kini lengkap kerana anak sudah besar dan memiliki cucu.

“Anak sulung saya, Faree­na Nasha, 26, sudah berumah tangga (dengan A Rahman Fauzi) sejak tiga tahun lalu dan sekarang saya bergelar datuk kepada dua cucu, Muhammad Khaleef Nasha, dua tahun dan Kyra Rose Nasha.

“Anak-anak saya yang lain, Najeeha Nasha, 22, Mohamed Shamer Nasha, 19, dan Jasmen Hanis Nasha, 15, masih belajar. Melihat mereka kian dewasa, saya amat bersyukur,” katanya.

Mengulas soal jodoh, Nash yang masih menjalin hubungan baik dengan bekas isteri, Hayati Mohd Yusuf, berkata, dia tidak pernah serik untuk berkahwin lagi meskipun dua kali mengalami kegagalan rumah tangga.

Apapun, Nash berkata, sebagai manusia biasa dia yakin dengan segala perancangan yang ditetapkan Yang Maha Esa dalam hidupnya. Baginya, apa yang dipohon adalah kesejahteraan dia dan keluarga tercinta.

“Saya tidak pernah menutup pintu hati untuk berumah tangga dan memang berkeinginan untuk menamatkan status duda ini. Bagaimanapun, saya tak mahu mengulas lanjut dan cuma berharap doakan terbaik untuk saya.

“Hubungan baik dengan bekas isteri juga amat saya hargai kerana walaupun kini masing-masing sudah ada haluan hidup sendiri, tetapi demi anak-anak, kami boleh bersahabat. Saya memang tiada masalah.

“Apa yang berlaku dalam hubungan rumah tangga saya dan bekas isteri adalah sejarah kami. Namun hubungan baik perlu terus dipupuk kerana dia (bekas isteri) adalah ibu kepada anak-anak saya,” katanya.

Menurut Nash, sebagai ibu bapa semestinya me­nginginkan yang terbaik untuk anak-anak. Jadi, walau pun tidak hidup bersama, tetapi hubungan dengan anak-anak tetap menjadi keutamaan kepada mereka.

Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Nash berkata, dia bersama Datuk Malek Ridzuan berganding bagi memimpin Briged Kesenian Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak empat bulan lalu. 

Kata Nash, penubuhan briged itu sebagai platform kepada golongan anak muda tempatan yang berminat menjadi pelapis industri seni tanah air mengetengahkan bakat mereka. 

Antara barisan artis seangkatan Nash yang hadir pada majlis kesyukuran dan aqiqah itu ialah Datuk Khadijah Ibrahim, Malek Ridzuan, Norshilla Amin dan suami, Norizan Majid serta Mas Omar.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Komen

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!