21 Oktober 2014


Total, syarikat minyak Perancis mengesahkan ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Christophe de Margerie, 63, terbunuh dalam nahas udara di sebuah lapangan terbang di Moscow apabila pesawat peribadinya terlanggar jentera pengaut salji ketika hendak berlepas.

"Kumpulan Total dengan sedih mengumumkan bahawa CEO, Christophe de Margerie terbunuh malam tadi kira-kira jam 10 malam (waktu Paris) dalam nahas di lapangan terbang Vnukovo di Moscow apabila pesawatnya bertembung dengan jentera pengaut salji," kata Total dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa jam sebelum itu, De Margerie bertemu Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev di kediaman beliau di luar Moscow untuk membincangkan pelaburan asing di Rusia, lapor akhbar perniagaan harian Vedomosti.



Lapangan terbang Vnukovo dalam satu kenyataan berkata, jet peribadi Falcon Dassault yang dinaiki de Margerie bersama tiga kru terbabit nahas ketika hendak berlepas.

"Ketika hendak berlepas pada jam 11.57 malam, pesawat itu berlanggar dengan jentera penyodok salji milik lapangan terbang. Berikutan perlanggaran itu, semua kru dan penumpang terbunuh," mengikut kenyataan lapangan terbang itu.

Jarak penglihatan ketika nahas adalah kira-kira 350 meter. Pasukan penyelamat segera dihantar ke tempat kejadian dan terus memadamkan kebakaran pesawat itu.

Agensi berita TASS dalam laporannya menyebut empat orang dalam pesawat itu terbunuh.

"Ada seorang penumpang yang didaftarkan dalam pesawat itu, warga Perancis Christophe de Margerie, manakala tiga kru yang juga warga Perancis turut terbunuh," lapor TAA memetik sumber penerbangan.

Nahas itu sedang disiasat Interstate Aviation Committee, jawatankuasa yang menyiasat semua kemalangan udara di Rusia dan disertai pakar daripada agensi penerbangan Rusia, kata pengendali lapangan terbang itu.

De Margerie sudah menjadi CEO Total, syarikat minyak ketiga terbesar di Eropah sejak 2007. Beliau sudah berkhidmat dengan syarikat itu selama 40 tahun, mengabadikan seluruh kerjayanya di firma itu. Beliau lebih dikenali sebagai 'Si Misai Lebat' kerana misai lebat sejemput yang memang menjadi ciri unik beliau.

Anak kepada tokoh perniagaan dan diplomat itu adalah juga cucu Pierre Taittinger, pengasas syarikat pengeluar wain dan barangan mewah Taittinger.

De Margerie yang mempunyai tiga anak, terkenal sebagai seorang yang suka berjenaka tetapi beliau adalah antara orang penting yang membawa Total mengharungi zaman sukar termasuk mempertahankan syarikat itu daripada dakwaan rasuah ketika pelaksanaan program 'minyak-untuk-makanan' anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Iraq.

Seorang tokoh yang dipandang tinggi dalam industri minyak, de Margerie mengakui bahawa dakwaan itu memberi kesan buruk kepada Total.

"Ramai orang apabila bercakap mengenai Total tidak tahu apa-apa, tetapi tahu ia bukanlah mengenai yang baik," katanya pada 2009.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!