23 Oktober 2014


Pendarahan ringan daripada faraj atau dikenali juga sebagai spotting yang menyamai haid tetapi lebih ringan. Warna darahnya pula berbeza daripada merah hingga ke coklat. Sekiranya ternampak ada pendarahan, pastinya wanita akan berasa bimbang, lebih-lebih lagi jika dirinya sedang hamil. 

Sebenarnya, pendarahan yang berlaku dalam minggu-minggu awal kehamilan biasa berlaku. Satu perempat daripada wanita hamil mengalami pendarahan dalam trimester pertama. Tambahan pula, jika wanita tersebut telah menjalani rawatan persenyawaan invitro (Invitro fertilisation-IVF) atau rawatan lain yang serupa bertujuan untuk membantunya hamil. Hal ini mungkin disebabkan oleh cara bagaimana bayi tersebut disenyawakan. 

Dua embrio mungkin diletakkan ke dalam rahim dan kedua-duanya mungkin telah menempel (implantasi), tetapi salah satu daripadanya tidak kekal. Keadaan ini dipanggil kembar yang hilang dan boleh menyebabkan pendarahan. Dalam kebanyakan kehamilan, pendarahan ringan tidak mendatangkan masalah dan dianggap sebagai “salah satu perkara biasa sahaja”. 

Walau bagaimanapun, pendarahan boleh menjadi serius jika melibatkan keguguran. Pada fasa awal kehamilan, pendarahan ringan biasanya tidak membahayakan dan disebabkan oleh hormon yang mengawal kitaran haid dan mencetuskan pendarahan apabila sampai masa sepatutnya wanita didatangi haid. 

Terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan pendarahan ketika wanita hamil. Satu daripadanya ialah pintu masuk ke pangkal rahim (serviks) mungkin mengalami kerengsaan akibat hormon kehamilan yang boleh mengubah permukaan serviks membuatkannya cenderung untuk berdarah. 

Contohnya, pendarahan mungkin keluar sedikit selepas melakukan hubungan seks atau masalah fibroid, iaitu ketumbuhan pada dinding rahim. Punca lain yang menyebabkan pendarahan semasa awal kehamilan yang sering dialami oleh kebanyakan wanita ialah keguguran dan kehamilan ektopik (kehamilan di luar rahim). Pendarahan jenis ini biasanya turut disertai dengan sakit perut dan kejang otot, terutama di bahagian perut. 

Keguguran pada awal kehamilan biasanya berlaku apabila embrio tidak berkembang dengan betul. Pendarahan akibat keguguran beransur-ansur menjadi banyak. Malahan, sesetengah wanita mengalami keguguran sebelum mengetahui bahawa mereka hamil dan menganggap kesakitan tersebut menandakan mereka didatangi haid. 

Kehamilan ektopik pula berlaku apabila ovum yang disenyawakan melekat pada bahagian luar rahim. Sekiranya wanita mengalami kehamilan ektopik, pendarahan mungkin berlaku tanpa henti dan darahnya berwarna gelap dan cair seperti jus prun. Kehamilan ektopik boleh membuatkan wanita mengalami sakit teruk dan perlu dirawat dengan segera. 

Selain kehamilan ektopik, terdapat satu lagi kehamilan yang boleh menyebabkan pendarahan dan telah menjejaskan kira-kira 2.8 daripada 1,000 kehamilan di Malaysia. Kehamilan molar (kehamilan anggur) berlaku apabila embrio tidak membesar dengan normal tetapi sesetengah sel yang membentuk plasenta terus membesar secara abnormal. 

Wanita yang mengalami kehamilan molar pula perlu dirawat dengan segera. 
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Komen

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!