28 November 2014


Kerajaan dicadang supaya membuat pindaan berkaitan hukuman mengikut Akta Hasutan 1948 dengan mengenakan hukuman penjara mandatori sebagai pengajaran kepada mereka yang menimbulkan pertelingkahan antara kaum.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah mengesyorkan agar pindaan itu tidak memperuntukkan hukuman denda, sebaliknya hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun, dan tidak melebihi 10 tahun.

Ini bagi menggantikan hukuman sedia ada iaitu denda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Jangan denda, sebaliknya penjara terus kerana denda tidak menakutkan sesiapa... denda dengan wang sesiapa sahaja boleh bayar. Sifat menghasut ini sangat berbahaya kepada negara. Misalnya anak-anak muda yang sukakan kebebasan akan menentang dengan lebih kuat," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada Khamis.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya bersempena Perhimpunan Agung Umno hari ini berkata Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi menguatkan dan memperkukuh akta berkenaan.

Perdana Menteri itu berkata kedua-dua peruntukan khas itu bertujuan melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Mohd Noor berkata pengumuman Najib itu merupakan tindakan yang tepat dalam situasi kini yang semakin mencabar dalam menangani keharmonian kaum di negara ini.

Katanya untuk memperkukuhkan akta itu, kerajaan perlu memberi penjelasan lebih meluas berhubung perbuatan 'menghasut'.

Beliau berkata definisi hasutan tidak seharusnya terhad kepada perbuatan 'mempersoalkan' isu berkaitan kedudukan agama Islam dan keistimewaan orang Melayu malah ia juga diperluaskan kepada perbuatan yang menimbulkan kegusaran orang Melayu.

Kerajaan juga, kata Mohd Noor, perlu memasukkan peruntukan undang-undang supaya rakyat tidak boleh mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama dan adat, tidak boleh mempersoalkan kedudukan Askar Melayu yang hanya boleh dianggotai orang Melayu sahaja dan tidak boleh mempersoalkan tanah rizab Melayu.

"Dalam Akta Hasutan masa kini, tiada peruntukan yang menjadikan salah perbuatan mengkritik agama dan hal tanah rizab Melayu. Hal kedudukan Raja ada disentuh dalam akta ini, tetapi secara umum sahaja," katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!