20 November 2014


MENUNGGANG basikal de­ngan tempat duduk yang diperbuat daripada kulit buaya, rangka bingkai emas 24 karat atau dua buah tayar direka khas mengikut tempahan merupa­kan fenomena baharu yang mula me­nular dalam kalangan golo­ngan elit di Paris, Perancis.

Pereka dari Paris, Tokyo hingga ke Milan berlumba-lumba mencipta rekaan paling menarik berharga ribuan ringgit yang menjadi rebutan pengguna kaya bagi mendapatkan sebuah basikal berjenama mewah.

Basikal mewah tersebut menjadi simbol status seperti mempunyai se­buah kereta berjenama di Paris. Ia menjadi rebutan kepada golongan muda profesional hingga kepada pe­nyandang jawatan-jawatan besar da­lam dunia perniagaan.

Situasi itu menyebabkan pereka bersaing antara satu sama lain bagi menarik perhatian pengguna dengan model mewah dan bergaya.

Jenama Hermes yang terkenal se­­bagai pengeluar barangan kulit ber­kualiti tinggi merupakan antara syarikat yang mempunyai pasaran luas dalam memperkenalkan basikal mewah. Model Flaneur dari jenama itu dijual dengan harga bermula RM37,821.

Untuk itu, pemilik membawa bersama kehebatan nama jenama, lapan jenis gear, rangka karbon monoblok, tempat duduk kulit kalis air dan cengkaman pemegang terbaik.

“Basikal ini mendapat sambutan yang menakjubkan daripada penggemar jenama Hermes dan penunggang basikal profesional. Mereka mendapati basikal ini terdapat keistimewaan yang tersendiri diberikan.

“Kami mahu mencipta satu trend menjadikan basikal sebagai pengangkutan kepada masyarakat moden,” ujar Ketua Pengarah Hermes Horizon, Francois Dore.

Di satu kawasan yang lain, sebuah syarikat pengeluar kereta Itali, 43 Milano menghasilkan model yang dipanggil Fuoriserie.

Ia menggunakan krom keluli, di­lengkapi motor elektrik di bahagian belakang tayar dan mengambil inspi­rasi rekaan kereta tahun 1930-an sya­rikat itu. Sebuah basikal Fuoriserie dijual dengan harga RM35,134.

“Rekaan kulit berpintal pada keru­si dan pemegang basikal diambil ins­pirasi daripada rekaan asal kereta kami,” ujar Presidennya, Paolo Pininfarina.

Fuoriserie hanya mempunyai 30 unit dan disasarkan kepada golongan berpendapatan tinggi yang tinggal di tengah-tengah ibu kota.

Mengikut fakta sejarah, basikal didakwa dicipta pereka kelahiran Jerman, Karl von Drais pa­da tahun 1817. Sehingga pertengahan abad ke-20, ia mudah didapati dengan harga murah dan menjadi pengangkutan utama kepada sebilangan penduduk di serata dunia.


Hari ini, ia juga menjadi aksesori mewah kepada pengeluar-pengeluar kereta termasuk Mercedes-Benz, Porsche, Maserati, Lamborghini dan Ferrari. Mereka menghasilkan basikal berkualiti dan berharga lebih mahal berbanding jenama komersial.

“Dengan menunggang basikal, pengguna berasa bebas. Mereka mampu mengelak daripada kesesakan lalu lintas. Pada masa sama, mereka boleh bersenam sambil menghirup udara se­gar dan menghayati kehidupan yang lebih bebas,” ujar pakar pemasaran, Bruno Urvoy yang turut mempunyai sebuah kedai basikal di Paris, En Selle Marcel.

Menjual basikal dari jenama me­wah, kedai itu mempunyai model keluaran Itali, Britain dan Jerman.

Meskipun harga basikal mewah itu di luar kemampuan pengguna yang berpendapatan sederhana, terdapat banyak pilihan yang boleh dipertimbangkan.

Dengan harga RM6,064, pengguna boleh memiliki model Siegfried daripada jenama Schindelhauer yang direka dengan rangka aluminium atau jenama Ludwig 18 yang lebih mahal.

Bagi Urvoy, definisi mewah adalah selepas pengguna melakukan pengu­bahsuaian. Pengguna mengubah ba­si­kal yang dimiliki sejak zaman kanak-kanak dan menukar bahagian-bahagian tertentu, menambah aksesori dan mengecatnya kembali.

“Sebelum ini, kereta dikatakan sebagai simbol status seseorang. Namun kini, ia mula diambil alih oleh basikal-basikal mewah.

“Mereka mendakwa ia sebagai sa­lah satu gaya hidup dan imej yang menjadi kebanggaan kepada diri sen­diri. Ia sama seperti menyarungkan kasut-kasut daripada jenama mahal,” ujar Urvoy.

Fenomena sama turut merebak ke Tokyo kerana terdapat banyak syarikat yang menawarkan basikal kepada penggemar khusus.

Sueshiro Sano, generasi ke sembilan syarikat pengeluar kapal layar mencipta basikal yang dikatakan mem­punyai rekaan dan material ber­teknologi terkini.

“Setakat ini, basikal kami mendapat respons yang positif dalam kala­ngan pengguna,” ujarnya.

Sano berkata, sebanyak 20 basikal dijual kepada pelanggan dari Jepun, Belanda, Taiwan dan China. Ia dijual dengan harga RM60,649 yang menawarkan gaya dan nilai eksklusif setanding dengan harganya.



0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!