13 November 2014


Kejadian ini berlaku di Perak. Seorang sahabat menceritakan bahawa selepas neneknya meninggal dunia, orang kampung mendakwa sering melihat jelmaan neneknya itu mundar-mandir di sekeliling rumah.

Arwah neneknya muncul tidak kira waktu, siang atau malam. Biasanya, duduk di serambi, membersihkan kawasan belakang rumah atau berdiri di simpang masuk ke rumah seperti yang biasa dilakukannya semasa hidup.

Kejadian ini memeningkan sahabat saya itu, kerana orang kampung menuduh neneknya membela hantu raya dan saka. Sedangkan, kata sahabat saya itu, neneknya semasa hidup tidak pernah dilihat melakukan perbuatan-perbuatan khurafat.

Rumah arwah neneknya kini terbiar usang, namun jelmaan itu diceritakan masih muncul sekali-sekala.

Kisah menarik ini pula diceritakan kepada saya oleh seorang penggali kubur di Kampung Juar, Seri Menanti, Negeri Sembilan, pada pertengahan 2003. Namanya Kulup bin Ismail.

Cerita Kulup, pada sekitar pukul 6.15 pagi penghujung 1999, ketika sedang berjalan kaki ke kebun getahnya, dia terserempak dengan seorang lelaki berkopiah, berbaju Melayu dan kain serba putih. Kulup tergamam kerana dia kenal sangat dengan lelaki itu.

“Pak Aji... nak ke mana pagi-pagi ni?” Kulup menegur lelaki berkenaan.

“Nak balik ke rumah,” jawab lelaki tersebut.

Mendengar jawapan lelaki itu, dada Kulup berdebar. Kulup bertanya lagi dan lelaki yang dipanggilnya Pak Aji itu memberitahu, dia datang dari tempat yang ‘jauh’ dan mahu balik ke rumahnya sekejap.

Jika di rumahnya nanti tidak ada orang, dia akan balik ke ‘tempatnya’ semula. Sambung lelaki itu, dia mahu berjumpa Kulup, kerana “orang lain tak berani melihat aku.”

Beberapa malam sebelum itu kata lelaki berkenaan, dia pergi ke sebuah rumah tidak jauh dari situ, tetapi sebaik-baik melihatnya, penghuni rumah tersebut menjerit, “Hantu! Hantu!” Dua hari kemudian orang itu berpindah rumah.

“Kau takut, Kulup?”

Kulup diam. Kata lelaki itu, jangan takut. Dia bukannya jin, hantu, syaitan atau iblis. Malah dia kecewa apabila orang kampung menuduhnya membela hantu.

“Aku tak buat kerja haram tu, Kulup!”

Kulup mengangguk. Dia tahu, semasa hidupnya, lelaki tersebut memang orang baik. Selepas lima minit berbual, lelaki itu meminta diri kerana sebentar lagi orang kampung akan keluar mencari rezeki. Tentu mereka akan lari lintang pukang apabila melihatnya.

“Kalau ada rezeki, kita jumpa lagi,” kata lelaki berpakaian serba putih itu langsung menghulurkan tangannya.

Kulup sambut salam lelaki itu. Sejuk. Mereka berpisah, dan selepas beberapa langkah, Kulup menoleh ke belakang. Tetapi lelaki tersebut telah pun ghaib.

Cepat-cepat Kulup meneruskan langkahnya kerana lelaki berpakaian serba putih dan berbau harum yang baru ditemuinya itu sebenarnya baru meninggal dunia seminggu sebelumnya. Kulup sendiri yang menggali kuburnya. Malah, tadi mereka terserempak di tepi pagar kawasan perkuburan kampung tersebut!

Hantu, syaitan atau...?

Kisah pertama yang saya catatkan itu, sebenarnya sudah agak biasa berlaku di sekeliling kita. Malah pernah berlaku, seorang pemandu van jenazah yang terpaksa memandu dengan ditemani oleh jelmaan mayat yang sedang dibawanya itu! Bukan itu saja, jelmaan tersebut menunjukkan sendiri arah rumah yang perlu dituju oleh si pemandu van berkenaan!

Seorang pemandu van jenazah lain, menempuh pengalaman yang tidak kurang anehnya. Dalam perjalanan pulang daripada menghantar mayat seorang perempuan Cina, kenderaannya ditahan oleh seorang perempuan yang rupa parasnya sama dengan mayat yang dihantar tadi.

Malah pakaiannya juga sama. Pemandu itu kenal benar kerana dia telah diupah untuk menyolek dan memakaikan pakaian yang cantik kepada si mati (sila dapatkan buku Kisah Aneh & Iktibar Pemandu Van Jenazah 1 dan 2, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd.)

Apakah penjelasan bagi fenomena ini? Hantu? Saka? Syaitan? Jin? Dalam kajian paranormal, seperti yang pernah dinyatakan dalam ruangan ini dahulu, penjelmaan entiti ini dijelaskan dalam dua pendapat.

Pendapat pertama, ia merupakan penjelmaan tenaga emosi si mati, yang akhirnya terbentuk secara fizikal, hingga dapat dilihat oleh mata kasar.

Pendapat kedua, jelmaan itu adalah projeksi minda semata-mata. Maknanya, ia hanyalah ilusi dan terhasil kerana otak kita terlalu memikirkan tentang penjelmaan-penjelmaan seram, termasuk penjelmaan si mati itu.

Penjelmaan qarin

Di atas tadi adalah pandangan pengkaji paranormal Barat. Dalam Islam pula, ‘hantu’ ini berkemungkinan sekali ialah ‘Qarin’ iaitu perkataan Arab yang bermaksud rakan atau teman. Qarin ialah jin yang mengiringi kelahiran seseorang bayi, termasuk kita.

Kewujudan qarin adalah untuk mengganggu manusia, menampakkan perkara-perkara buruk dan jahat seolah-olah baik. Begitulah sebaliknya. Qarin sentiasa berada di samping kembarnya (sepanjang hayat) dan memujuk serta mengajak supaya melakukan kemungkaran.

Setiap kita mempunyai qarin, termasuklah Rasulullah SAW. Bagaimanapun baginda terlindung daripada gangguan qarin, kecuali yang mengajak kepada kebaikan.

Apabila seseorang itu meninggal dunia, qarinnya terus hidup. Ini kerana umur jin/syaitan adalah panjang. Qarin inilah yang menjelma seperti mana jasad seseorang itu pada saat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Oleh kerana itulah apabila seseorang itu meninggal dunia akibat kemalangan, qarin menjelma dalam keadaan sepertimana tubuh kembarnya cedera akibat kemalangan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!