24 November 2014


Belum pun perwakilan membincangkan isu sekolah jenis kebangsaan (SJK) ke Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula Selasa ini, parti cauvinis Cina, DAP sudah pun 'menembak' sekolah kebangsaan dengan menuduh agenda agama dan Islamisasi di sekolah kebangsaan (SK) menyebabkan ramai ibu bapa bukan Islam tidak minat menghantar anak mereka ke sekolah itu.

Agak berat tuduhan ini dan pastinya ramai orang Melayu akan marah. DAP menggunakan 'seni politiknya' dengan menggunakan suara Ahli Parlimen Melayu, Zairil Khir Johari, untuk menghentam sekolah kebangsaan. Tidak sukar untuk buat telahan kenapa Zairil yang membangkitkannya.

Timbul persoalan apa agenda sebenar kelompok ini membangkitkan soal SK ketika ini? Adakah ia hanya kebetulan ketika MCA turut sama mempersoalkan hasrat perwakilan UMNO mahu membincangkan soal SJK pada perhimpunan nanti. Apa pun, penulis percaya UMNO tidak akan terperangkap dengan permainan ini. Bak kata peribahasa, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina.

Hakikatnya, banyak pihak di luar sana seperti mahu 'mengawal' perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO, termasuk memberi nasihat supaya perwakilan tidak beretorik dan menyinggung perasaan rakyat ketika mengambil bahagian pada perhimpunan nanti.

Kenapa ketika Perhimpunan Agung UMNO sahaja perwakilan mesti mengelak daripada menyinggung perasaan orang lain, termasuk bukan Melayu dan parti komponen? Bukan rahsia lagi persidangan atau mesyuarat parti komponen BN pun ada membuat pengucapan atau kenyataan yang menyinggung sensitiviti orang Melayu dan agama Islam.

Namun, semua masalah yang timbul diselesaikan atas semangat BN melalui meja perundingan. Sewajarnya pemimpin parti komponen lebih terbuka dalam soal ini dan memberi ruang kepada perwakilan UMNO bercakap dan melontar apa jua pandangan mereka, selagi ia tidak melampaui batasan.

Persidangan sebegini adalah medium terbaik untuk mana-mana perwakilan UMNO memberikan pandangan, kritikan dan bersuara menyatakan harapan serta pendirian parti demi masa depan orang Melayu. Pemimpin UMNO pastinya tahu batas apabila berhujah kerana sentiasa berpegang kepada semangat permuafakatan dalam BN.

Apa pun, pemimpin parti komponen lain tidak sepatutnya berasa curiga dan bersangka buruk terhadap pemimpin UMNO yang melontarkan pandangan yang menyentuh kaum lain kerana 'cuit-mencuit' pada persidangan adalah perkara biasa, malah ada kalanya dapat memperbetulkan kepincangan yang sedia ada.

Ketika Islam diasak bertubi-tubi, termasuk dari dalam kelompok Melayu sendiri, adalah wajar perhimpunan agung kali ini menunjukkan ketegasan dalam mempertahankan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini. Soal mempermainkan fatwa, transgender dan fahaman liberal bukan lagi sekadar isu sampingan, sebaliknya UMNO harus dilihat menjuarai perkara ini demi kemaslahatan umat Islam di negara ini.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!