24 November 2014

Dollah Salleh ternyata berang dengan beberapa keputusan berat sebelah oleh pengadil Kurbanov Charymurat selepas skuad kendaliannya terikat tanpa jaringan dengan Myanmar.
 
Sambil membidas pengadil Turkmenistan itu, beliau berkata beberapa keputusan perlawanan perlu dipersoalkan termasuk menafikan dua peluang tendangan penalti untuk Malaysia pada separuh masa kedua.
 
"Maaf untuk menyatakan beberapa pemain Myanmar suka berlakon dan pengadil terlepas pandang tetapi secara keseluruhan, saya bangga dengan prestasi pemain," katanya kepada pemberita selepas perlawanan pembukaan Kumpulan B, Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014, di Stadium Jalan Besar.
 
Kedua-dua pasukan itu berkongsi mata dan skuad kebangsaan terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-34 selepas pemain tengah, Gary Steven Robbar diperintah keluar padang oleh pengadil kerana mengutip kad kuning kedua.

Berikutan keputusan seri itu, Dollah berkata mereka harus mengumpul mata penuh ke atas Thailand dan Singapura atau menempah tiket awal untuk pulang ke tanah air.
 
"Saya faham tugas getir sedang menanti tetapi pemain perlu melipatganda usaha untuk meraih mata penuh ke atas Thailand dan Singapura," katanya sambil menjelaskan beliau akan melakukan rombakan dalam pasukan sebelum menghadapi Thailand di venue sama, Rabu ini.
 
Berkongsi nada yang sama adalah kapten skuad negara, Muhammad Shukor Adan yang berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan oleh rakan sepasukan walaupun hanya meraih satu mata.
 
"Saya kira satu mata oklah daripada tiada mata langsung. Menentang Thailand bukan senang kerana kita tahu pasukan ini mempunyai pemain yang agak bagus, jadi kami perlu melipatgandakan usaha menentang mereka nanti," kata pemain yang beraksi di posisi tengah itu.
 
Pemain pertahanan negara, Mohd Afif Amiruddin turut berpandangan nasib tidak menyebelahi skuad negara untuk mengutip mata penuh namun yakin peluang mereka ke separuh akhir masih ada.
 
Sementara itu, jurulatih Myanmar, Radojko Avramovic bangga dengan prestasi anak buahnya kerana berjaya memungut mata dan memuji pasukan Malaysia kerana memberi tentangan sengit.
 
Beliau juga berharap pasukan bimbingannya akan menampilkan persembahan sama apabila berdepan dengan bekas pasukan bimbingannya, Singapura di National Stadium, Singapore Sports Hub, Rabu ini.
 
 
 
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!