14 November 2014


KUALA LUMPUR, 13 NOV 2014: Pelakon Erra Fazira akui dia kini sedang mengenali hati budi seseorang jejaka, namun pelakon jelita tersebut menafikan dakwaan kekasihnya itu adalah daripada golongan VIP seperti yang pernah digembar-gemburkan.
“Ya, saya akui saya kini sedang berkawan dengan seseorang, siapa dia itu saya belum bersedia untuk dedahkan tetapi yang pastinya bukan golongan VIP dan seorang bujang.
“Sepanjang sejarah saya berkawan, saya tidak pernah menyasarkan golongan VIP, ahli politik atau sesiapa sahaja yang ada status untuk menjadi pasangan saya. Saya lebih tertarik kepada hati budi  seseorang itu.


“Saya jenis orang yang tak suka keluar rumah dan tak campur dengan orang. Jika pergi ke majlis yang ada golongan tersebut pun, ia hanya atas dasar kerja saja. Kawan rapat tahu saya macam mana.
“Jadi, bila masa pula saya nak bertemu serta rapat dengan golongan VIP. Itu semua tak benar dan saya tak ada kena-mengena dengan mana-mana golongan VIP,” katanya kepada murai.com.my
Erra ditemui pada majlis pelancaran teater Takhta 3 Ratu di Bora Ombak, Jalan Ampang semalam.
Pengacara program bual bicara, Primadona itu mendedahkan statusnya kini kerana berharap segala spekulasi  mengenai dengan siapa dia berkawan dapat dihentikan.
“Saya terpaksa mendedahkan cerita sebenar yang saya kini sedang berkawan dengan seseorang adalah sebab saya nak hentikan semua gosip yang tidak benar ini. Gosip tersebut memberi impak kepada saya. Apabila ada elemen yang tidak sihat, jadi ia menganggu saya lebih-lebih lagi saya adalah ibu tunggal.
“Disebabkan saya diam, orang buat cerita tak betul seolah-olah saya kemaruk nak bercinta pula. Sebab itu saya mengaku saya sedang mengenali seseorang sekarang,” luahnya lagi.
Sementara itu, mengenai Takhta 3 Ratu, ia merupakan projek teater yang menggabungkan tiga produksi iaitu Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd, Erra Fazira Entertainment dan Awie Entertainment.
Takhta 3 Ratu mengisahkan tentang puteri Majapahit iaitu Galuh Chenderai (Izreen Azminda) yang berkahwin dengan Sultan Mansur (Azri Iskandar)  terluka hati apabila suaminya itu mengambil keputusan mengahwini Puteri Hang Li Po (Soo Wincci) bagi mengukuhkan pertalian persahabatan antara Melaka dan China.
Dalam persengketaan antara Galuh Chenderai dan Li Po, kedua-dua mereka terduduk apabila Sultan Mansur mahu menikahi Lela Wangsa (Erra), iaitu puteri kepada Maharaja Dewa Sura, pemerintah Inderapura yang cuba hendak menyerang Melaka.
Takhta 3 Ratu bakal dipentaskan bermula 13 hingga 22 Disember 2014 di Istana Budaya.
Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di kaunter IB atau melayari laman www.airasiaredpix.com.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!