25 November 2014


SYDNEY 24 Nov. - Pengarah Program Operasi Pencarian MH370 Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Peter Foley mendakwa serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dijangka terdampar di kawasan pantai setelah dibadai ombak dan kemungkinan besar terdampar berhampiran pantai Sumatera.

Laman web Mirror.Uk memetik Foley sebagai berkata, beliau percaya serpihan pesawat itu daripada jenis Boeing 777 akan bergerak ditolak ombak ke Indonesia dan jika perkara itu benar, segala misteri tentang kehilangan pesawat itu bakal terjawab.


“Sesuatu (daripada pesawat MH370) pasti akan terdampar di kawasan pantai dan kemungkinan besar di kawasan pantai di Sumatera. Kami dimaklumkan banyak orang telah menemui objek pelik di kawasan pantai dan menyerahkannya kepada polis tempatan.

“Kami kemudian menyerahkan objek berkenaan kepada Boeing untuk dikenal pasti, namun sehingga kini tiada sebarang berita positif diterima tentang pesawat itu. Objek yang berada di laut mengambil masa lama untuk terdampar di pantai setelah dibadai ombak,” jelas Foley.

Kata Foley, dua buah kapal masih menjalankan kerja-kerja mencari pesawat MH370 di dua buah kawasan yang telah dikenal pasti, menggunakan peralatan pengimbas sonar.

Jelasnya, 40 orang krew bekerja di atas kapal berkenaan 24 jam secara bergilir-gilir bagi memastikan usaha mencari dapat dijalankan dengan lancar.

“Ada kalanya cuaca di laut begitu buruk, tetapi kami percaya kami akan mendapat jawapan misteri tentang kehilangan (MH370) ini. Penting untuk semua pihak mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku kepada pesawat tersebut,” ujar Foley.

Kehilangan pesawat MH370 hampir memasuki sembilan bulan sejak dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu, ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang penumpang dan anak kapal. -UTUSAN ONLINE

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!