18 November 2014


Majlis Tanah Negara (MTN) hari ini bersetuju supaya harga minimum hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing ditingkatkan daripada RM500,000 seunit kepada RM1 juta seunit.

Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini, MTN bersetuju supaya Garis Panduan Perolehan Hartanah, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dikuatkuasakan pada 1 Mac 2014.

Kertas mengenai 'Pengemaskinian Garis Panduan Perolehan Hartanah' yang menguatkuasakan peningkatan harga minimum hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2014.

Garis panduan itu adalah antara empat kertas pertimbangan dan tiga kertas makluman mengenai beberapa dasar penting berkaitan dengan tanah dan perhutanan yang dibincangkan pada mesyuarat MTN ke-70 itu di bangunan Parlimen.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu antara yang menghadirinya ialah menteri-menteri kerajaan Persekutuan yang berkaitan termasuk Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel serta semua menteri besar dan ketua menteri.

MTN juga bersetuju dengan 'Kertas Cadangan Semakan Kadar Cukai Tanah di Semenanjung Malaysia bagi Tahun 2015' supaya pihak berkuasa negeri menyemak semula kadar cukai tanah sebelum tamat tempoh 10 tahun bermula dari tarikh yang paling terdekat dari tarikh semakan sewa sebelumnya selaras dengan peruntukan Seksyen 101, Kanun Tanah Negara 1965.

Kertas Cadangan Mengenai Impak Aktiviti Perlombongan dan Pengkuarian Terhadap Pengurusan Hutan Secara Berkekalan di Semenanjung Malaysia' turut dibincangkan pada mesyuarat itu.

Menurut kenyataan itu lagi MTN bersetuju dengan kertas cadangan itu yang menyatakan supaya kerajaan-kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mengawal atau seboleh-bolehnya mengelak sebarang kelulusan aktiviti perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal.

Satu lagi kertas pertimbangan yang dibincangkan ialah 'Kertas Cadangan Berkenaan Impak Aktiviti Pembangunan Tanah Terhadap Pengurusan Hutan Secara Berkekalan Bagi Kawasan Hutan Paya Laut di Semenanjung Malaysia'.

Melalui perbincangan itu, MTN bersetuju supaya kawasan Hutan Paya Laut dalam Hutan Simpanan Kekal sedia ada dikekalkan dan keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal ditingkatkan melalui pewartaan kawasan Hutan Paya Laut dalam Tanah Kerajaan.

Sementara itu, tiga kertas makluman yang dibentangkan ialah mengenai penglibatan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam mekanisme REDD+ (Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation in Developing Countries) bagi mengurangkan kesan perubahan iklim.

Mesyarat turut mengambil maklum mengenai keputusan Penilaian penarafan Bintang (SSR) Pentadbiran Tanah Tahun 2013 dengan Pejabat Tanah Kulim, Kedah telah mendapat lima bintang.

Kertas makluman ketiga pula adalah mengenai 'Kemajuan Penyelesaian Tunggakan Urusan Tanah dan Prestasi Pendaftaran Pindah Milik Tanah Dalam Satu Hari di Pentadbiran Tanah Negeri' sehingga bulan Ogos 2014.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!