25 November 2014

Pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh optimis dengan kemampuan pasukan untuk melakar kemenangan ke atas Thailand pada aksi kedua kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2014 di Stadium Jalan Besar, Rabu ini.
Jurulatih itu mengakui Thailand bukan lawan yang mudah ditundukkan berdasarkan corak permainan pantas yang dipamerkan ketika menundukkan Singapura 2-1 pada aksi pembukaan kumpulan B di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub, semalam.

"Thailand boleh dikatakan salah satu pasukan pilihan dalam kumpulan ini dan saya lihat persembahan mereka lebih tersusun di bahagian tengah dan serangan tapi pertahanan mereka agak lemah ketika berdepan Singapura.


"Mungkin kita cuba mencari idea untuk mengatasi pertahanan mereka pada pertemuan Rabu ini," kata Dollah ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad berkenaan di Stadium Serangoon, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan masih belum memutuskan kesebelasan utama berdepan Thailand kerana beberapa pemain sudah mengutip kad kuning selain terpaksa melupakan khidmat pemain tengah, Gary Steven Robbat akibat penggantungan satu perlawanan.

Gary, yang merupakan pemain skuad Harimau Muda A (Bawah 23) negara, mengutip kad merah pada aksi Malaysia dan Myanmar di Stadium Jalan Besar, semalam yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata moral pemain untuk menghadapi Thailand amat tinggi walaupun skuad negara hanya meraih satu mata menentang Myanmar.

Beliau bagaimanapun yakin skuad Harimau Malaya akan bangkit untuk menumbangkan Thailand pada aksi kedua kumpulan sekiranya para pemain memberikan fokus yang sepenuhnya.

"Yang pentingnya, kita mahu pemain supaya mengelak daripada menerima kad merah dan juga sepakan penalti pada aksi menentang Thailand nanti kerana mereka (Thailand) adalah pasukan yang berbeza berbanding Myanmar," jelas Hamidin.

Beliau turut menyeru penyokong bola sepak negara terutamanya sekitar Johor Baharu untuk turun memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan pada aksi Rabu ini.

"Saya dimaklumkan bahawa Tuanku Presiden FAM, Tengku Abdullah (Sultan Ahmad Shah) dan penasihatnya (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dijangka mencemar duli bagi menyaksikan perlawanan itu nanti," katanya.

Hamidin berkata penyokong negara masih boleh mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan menentang Thailand dan Singapura yang boleh dibeli di kaunter tiket Star Hub, Kallang, Singapura.

Malaysia perlu mencatatkan kemenangan ke atas Thailand selain menundukkan Singapura pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Nasional, Sabtu ini sekiranya berhasrat melangkah ke peringkat separuh akhir.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada kumpulan A dan B layak ke separuh akhir.

Vietnam menjadi tuan rumah bagi aksi kumpulan A yang turut melibatkan Indonesia, Filipina dan Laos.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!