13 November 2014


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada ahli parti supaya tidak terlibat dalam isu Mak Nyah melebihi dasar parti.

Dalam satu temu bual yang disiarkan lidah rasmi PAS, Harakah, Abdul Hadi berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa kepada Jawatankuasa Disiplin parti jika terdapat mana-mana ahli yang melanggar pendirian parti.

"PAS ada dasar. Saya beri peringatan kepada ahli-ahli PAS. Jangan terlajak lebih daripada dasar parti.

"Kalau terlajak, kita tidak teragak-agak untuk membawa kepada Jawatankuasa Disiplin. Itu saya tegaskan," Abdul Hadi dipetik sebagai berkata oleh Harakah.

Abdul Hadi juga menegaskan dalam isu Mak Nyah, bukan hanya kerajaan tidak bersungguh-sungguh mengatasi masalah tersebut, tetapi PAS juga tidak memainkan peranan yang sepatutnya.

"Bukan kerajaan sahaja. Kerajaan, kerajaanlah, kita sendiri pun termasuklah orang PAS sendiri (bertanggungjawab).

"Saya tahu kalangan orang PAS pun ada yang ikut juga. Itu tidak boleh.

"Saya terang-terang kena sebut juga, kita PAS ini ada Jawatankuasa Disiplin. Kalau ada orang PAS yang terikut-ikut, saya tidak teragak-agak untuk bawa Jawatankuasa Disiplin," katanya lagi.

Mengulas isu penghakiman Mahkamah Rayuan pada 7 November lalu yang memutuskan Seksyen 66, Enakmen Jenayah Syariah di Negeri Sembilan sebagai tidak berperlembagaan dan membenarkan tiga lelaki Islam untuk berpakaian wanita, Abdul Hadi berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia sudah jelas termaktub di dalam al-Quran.

Katanya, perkara seperti itu sepatutnya dirujuk kepada Majlis Fatwa sama ada di peringkat kebangsaan atau di negeri-negeri.

"Perkara ini sudah jelas dalam al-Quran. Sudah jelas dalam hadis Nabi s.a.w. Diharamkan perlakuan orang lelaki tukar kepada perempuan, perempuan kepada lelaki. Itu diharamkan. Sudah nyata benda itu.

"Jadi, oleh kerana Islam sebagai agama persekutuan, sepatutnya perkara ini dirujuk kepada Majlis Fatwa (sama ada) Kebangsaan (dan) negeri masing-masing," katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!