21 November 2014


Pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi melakukan kejutan terbesar dalam kariernya apabila menundukkan pilihan kedua dari China, Wang Yihan di pusingan kedua Siri Super Terbuka Hong Kong semalam.

Jing Yi, 23, menempah slot ke suku akhir selepas menang 21-19, 14-21, 21-15 dalam perlawanan 51 minit di Coliseum, Hong Kong.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Pulau Pinang itu bakal berdepan satu lagi tugas sukar di suku akhir hari ini apabila bertemu juara dunia 2014, Carolina Marin dari Sepanyol yang mengalahkan seorang lagi pemain negara, Lydia Cheah 21-10, 21-10.

Menurut Jing Yi, setiap perlawanan dilaluinya tetap dianggap 50-50 kerana apa saja boleh berlaku.

“Saya hanya perlu fokus terhadap corak permainan saya, tidak kira menang atau kalah. Begitu juga untuk perlawanan menentang Carolina,” katanya.

Jelasnya, kunci utama kemenangannya semalam adalah bermain dengan corak menyerang kerana tiada apa yang merugikannya.

“Ini kali pertama dalam karier, saya menumpaskan pemain berkedudukan 10 terbaik dunia dan kemenangan ini akan meningkatkan keyakinan saya,” katanya yang membantu skuad campuran negara memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

Sementara itu jurulatih perseorangan wanita negara, Wong Tat Meng berkata, kemenangan Jing Yi itu kejutan paling besar dalam kariernya.

“Esok dia akan berdepan satu lagi perlawanan sukar dan saya mahu dia terus fokus serta tenang. Teruskan rentak kemenangan agar dia boleh melangkah jauh,” katanya.

Sementara itu pasangan beregu wanita negara, Lee Meng Yean-Lim Yin Loo gagal melakar kejutan apabila kalah kepada pilihan kelima dari China, Bao Yixin-Wang Xiaoli 21-19, 16-21, 9-21.

Pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng turut gagal meneruskan kemaraan apabila kalah 18-21, 21-15, 20-22 kepada wakil Jepun, Takuma Ueda.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!