12 November 2014

Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor hari ini memberi alasan bahawa jumlah masjid yang banyak di negeri ini menjadi punca kepada kelewatan penyelenggaraan beberapa rumah ibadat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, jumlah yang banyak menyebabkan satu peruntukan besar diperlukan untuk membaik pulih masjid-masjid sedia ada.

Menurutnya, tanggungjawab Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga adalah besar berbanding jabatan-jabatan agama di negeri lain, selain keupayaannya yang terhad.

‘‘Selangor mempunyai masjid yang banyak sekali gus memerlukan peruntukan yang besar untuk membaikinya.

‘‘Tanggungjawab JAIS juga besar tetapi keupayaannya sebagai agensi pelaksana pula terbatas.

‘‘Contohnya dalam projek pembinaan, bukan pihak JAIS sahaja terlibat tetapi turut memerlukan bantuan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan ini adalah penyebab kepada kelewatan ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pengisytiharan keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2014 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2013 mendapati enam masjid kelolaan JAIS di daerah Sepang, Petaling dan Gombak tidak diselenggara sejak tiga tahun lalu sehingga menyebabkan masjid tersebut mengalami kerosakan berterusan.

Kerja penyelenggaraan baik pulih ke atas masjid negeri turut didapati tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan menyebabkan hasil kerja pembaikan tidak bertahan lama dan memerlukan pembaikan semula tidak lama kemudian.

Ahmad Yunus berkata, satu tindakan segera dalam menyelesaikan masalah akan diambil dan beliau akan berbincang dengan Pengarah JAIS, Ahmad Zaharin Mohd. Saad serta bahagian-bahagian terlibat untuk memperbaiki perkara ini.

Katanya, antara inisiatif yang boleh diambil oleh JAIS untuk mengatasi masalah ini ialah dengan melantik secara kontrak pakar-pakar jurutera.

‘‘Ketika ini, JAIS tidak ada jurutera dan proses baik pulih atau audit di peringkat masjid dan bangunan lain miliknya bukan mudah dan memerlukan jurutera.

‘‘Ini penting supaya di samping perlu ada kerja baik pulih, jaminan keselamatan ke atas bangunan yang dimiliki JAIS juga perlu diambil kira,’’ ujarnya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!