26 November 2014


Impak kejatuhan harga minyak mentah dunia terhadap pendapatan dan kewangan kerajaan adalah minimum memandangkan kerajaan sudah mengurangkan kebergantungan terhadap hasil minyak dan gas secara beransur-ansur, kata Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata langkah tersebut antara elemen mampan dalam kewangan kerajaan. "Pada 2011, hasil petroleum ialah 35.8% daripada pendapatan keseluruhan dan menurun kepada 33.7% pada 2012 dan 31.2% tahun lalu. Diharapkan kebergantungan ini dapat dikurangkan kepada bawah 30%," katanya. Wahid berkata selain itu, kerajaan juga mendapat manfaat daripada penarikan subsidi bahan api serta percaya penjimatan tersebut lebih daripada mencukupi untuk menampung kejatuhan hasil minyak. 


Beliau bercakap kepada pemberita di luar majlis penyampaian Anugerah Pelaporan Mampan Malaysia ACCA 2014 di Kuala Lumpur hari ini. Kerajaan menguruskan kewangannya secara mampan dan di landasan untuk mengurangkan defisit bajet kepada 3.5% menjelang akhir tahun serta 3% tahun depan dalam usaha mencatat belanjawan berimbang menjelang 2020, katanya. 

Mengulas laporan Tabung Kewangan Antarabangsa Malaysia mampu mencapai defisit belanjawan bawah 3% menjelang tahun ini, Wahid berkata kerajaan perlu mengimbangi pendapatan dan perbelanjaannya. "Dari segi perbelanjaan itu tidak bermaksud mengurangkan jumlah tersebut tetapi mengoptimum dan memperuntuk perbelanjaan mengikut kepentingan dan keperluan," katanya. 

Mengenai keputusan mengapungkan harga bahan api, beliau berkata langkah tersebut kena pada masanya memandangkan pada masa ini harga minyak dunia dalam trend menurun. Beliau berkata harga akan disemak secara bulanan iaitu lebih mudah diurus dan akan berdasarkan kepada harga purata bulan terdahulu. 



0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!