10 November 2014


Pendakwah, Datuk Mohamad Din Yusoh menasihati Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad supaya mendalami pengertian sebenar ‘children of God’.

Beliau berkata, pemimpin Pas itu perlu mengetahui apa dimaksudkan dengan ungkapan itu dari sudut agama Kristian serta ayat di dalam Injil atau Bible Luqa yang berbahasa Arab dan Bible Lukas dalam bahasa Malaysia-Indonesia.

Menurutnya, beliau terpanggil untuk memberikan penjelasan mengenai isu itu ekoran tindakan Khalid yang mempertahankan Sisters in Islam (SIS), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang difatwakan sesat oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Saya berpandangan beliau tidak faham konsep ketuhanan agama Kristian kerana konsep itu adalah menjurus kepada triniti iaitu mereka percaya kepada tuhan bapa, tuhan anak dan tuhan rohul kudus," katanya.

Menurutnya, maksud 'children of God' itu sekiranya diambil petikan daripada paparan gambar tiga versi bahasa iaitu bahasa Arab, bahasa Malaysia - Indonesia dan bahasa Inggeris, ayat bible Lukas 3.38, berbunyi ‘anak Enos, anak Seth, anak Adam dan anak ALLAH”.

Kemudian, katanya, jika dirujuk semula dalam ayat Luqa 3.38 di dalam versi bahasa Arab, ia berbunyi ‘bin Anusa, bin Seth, bin Adam, Ibnullah’.

“Semua ini adalah konsep triniti. Kalau seseorang itu mengamalkan konsep tersebut bermakna ia sudah menyimpang jauh serta lari daripada akidah Islam. Apatah lagi anak-anak muda sekarang yang kurang berilmu dalam bidang agama. Orang yang lari daripada akidah boleh menjurus kepada kekufuran, kalau dengan niat,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu pada 7 November lalu bertajuk ‘Khalid Samad pertahan SIS'.

Di dalam laporan tersebut menyatakan, Khalid yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat meminta Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi agar tidak mudah menghukum pertubuhan itu berhubung penggunaan ungkapan ‘children of God’ yang dituturkan Pengasas SIS, Zainah Anwar tanpa diberikan peluang untuk menjelaskan maksud sebenar.

Mohamad Din berkata, tindakan Khalid itu sekali gus menampakkan beliau tidak faham tentang konsep ketuhanan bagi agama Kristian.

“Saya rasa, Khalid perlu mendalami ilmu bahasa, sama ada bahasa Inggeris, Melayu atau pun Arab sebelum mentafsirkan sesuatu perkataan itu mengikut cita rasanya.

“Kerana bagi saya, ini bukan lagi masalah isu liberalisme dan pluralisme malah ia sudah berkait soal akidah umat Islam.  Kalau sebelum ini beliau pernah dikaitkan dengan isu kalimah ALLAH tetapi kini isu ‘children of God’ pula. Bagi saya jika tidak faham jangan cuba mahu jadi juara," katanya.

Mohamad Din juga menegur Khalid yang sepatutnya berada dalam Pas sebagai seorang pemimpin sebuah parti memperjuangkan Islam tetapi sekarang dilihat sudah bercanggah.

“Kalau kita kurang memahami selok-belok undang-undang, bertemu dengan pakar undang-undang.

“Saya rasa apa yang difatwakan oleh (pihak berkaitan fatwa dalam) Mais itu adalah bertepatan, jika tidak pihak terbabit tidak akan mengeluarkan fatwa tersebut,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!