28 November 2014


Pemain kriket Australia, Phillip Hughes yang mengalami koma selama dua hari akibat kepala terkena bola disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital St. Vincent, Sydney semalam.

Hughes, 25, mewakili Australia dalam banyak perlawanan kriket antarabangsa dan dianggap seorang pemain yang mempunyai masa depan cerah dalam sukan tersebut.

Kematian Hughes mengejutkan ramai pihak dan para peminat sukan itu menyifatkan ia sebuah kemalangan ganjil kerana setiap pemain kriket memakai topi keselamatan bagi mengelak kecederaan akibat terkena pukulan bola di bahagian kepala.

“Kecederaan di bahagian kepala mendatangkan bencana kepada pemain itu.

“Pembedahan telah dilakukan, namun Hughes tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif. Malangnya akibat kecederaan itu, dia maut,” kata pakar trauma, Dr. Tony Grabs yang merawat pemain itu.

Selasa lalu, Hughes bermain dalam satu perlawanan domestik. Arteri vetebrata di bahagian leher pemain itu mengalami luka parah sehingga memaksa pihak hospital bertungkus lumus melakukan usaha menyelamat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Kriket Australia, James Sutherland mengakui tragedi malang itu memberi kesan besar terhadap pasukan kebangsaan negara itu serta seluruh peminat sukan tersebut.

“Tragedi ini dianggap aneh, tetapi semua risiko boleh berlaku sehingga menyebabkan tragedi dalam sukan. Tidak syak lagi, dia adalah seorang bintang yang semakin meningkat,” jelasnya.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbot mengarahkan bendera negara itu dikibar separuh tiang bagi menghormati kematian pemain kebangsaan Australia itu.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!