24 November 2014


“Pemain Myanmar memang pandai berlakon!”

Itu kata-kata sindiran jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh selepas menyaksikan anak buahnya terpaksa bergelut dengan 10 pemain ketika seri 0-0 menentang Myanmar pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2014 semalam.

Dalam aksi di Stadium Jalan Besar yang sepatutnya bermula jam 5 petang namun tertangguh sejam akibat hujan lebat, skuad negara kehilangan pemain tengah Gary Steven Robbat akibat layangan kad kuning kedua oleh pengadil dari Turkmenistan Kurbanov Charymurat pada minit ke-35.

Ketiadaan pemain berusia 22 tahun itu seakan-akan meneruskan nasib malang Dollah yang turut kehilangan seorang pemain ketika tewas dua aksi persahabatan menentang Syria dan Vietnam membabitkan Mohd Fadhli Shas dan Mohd Muslim Ahmad.

Dollah yang memuji kesungguhan pemainnya meskipun gagal meraih tiga mata penuh dalam perlawanan yang sepatutnya menang itu, bagaimanapun mempersoalkan sikap pemain lawan serta keputusan pengadil perlawanan.

“Ini perlawanan ketiga berturut-turut pemain saya dilayangkan kad merah. Saya berpuas hati dengan kesungguhan pemain. Kami berjaya mendapatkan keputusan seri walaupun sebenarnya boleh menang perlawanan ini.

“Saya minta maaf untuk menyatakan pemain Myanmar lebih gemar berlakon atau mencipta sesuatu (untuk mempengaruhi keputusan pengadil).

“Gary tidak melakukan kesalahan dan tidak sepatutnya diberikan kad kuning kedua,” katanya pada sidang media semalam.

Malaysia mempunyai peluang lebih baik dalam aksi di depan 6,000 penyokong di stadium yang menggunakan padang rumput tiruan itu namun beberapa keputusan Kurbanov juga tidak memihak kepada mereka.

Antara yang menjadi pertikaian, percubaan penyerang Mohd Amri Yahyah pada minit ke-5 yang dikatakan ofsaid serta kekasaran ke atas S Kunanlan oleh pertahanan Myanmar pada minit ke-54 yang tidak mendapat simpati pengadil.

“Saya fikir pengadil sepatutnya memberikan penalti,” kata Dollah ketika mengulas insiden Kunanlan itu.

Di sebalik ketiadaan tonggak pertahanan tengah Mohd Muslim Ahmad yang digantung satu perlawanan pada saat akhir ekoran kad merah dalam aksi dengan Vietnam tempoh hari, kredit seharusnya diberikan kepada tonggak pertahanan negara Mohd Fadhli Shas, Afif Amiruddin, Zubir Azmi dan Mahali Jasuli kerana ampuh bertahan.

Namun hakikat yang tidak boleh disembunyikan, Dollah berdepan halangan lebih mencabar untuk mencari slot ke separuh akhir apabila lawan mereka selepas ini juara tiga kali Thailand (Rabu) dan juara empat kali Singapura (Sabtu).

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!