27 November 2014


Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ong Poh Eng menafikan dakwaan beliau terlibat dalam penyelewengan duit persatuan berkenaan.

Ong sebaliknya mendakwa tuduhan itu sengaja ditimbulkan oleh individu yang berniat menjatuhkan beliau dan mencemarkan nama baik persatuan untuk kepentingan peribadi individu terbabit.

Beliau berkata dakwaan yang dilemparkan itu berikutan ada individu yang berhasrat merebut jawatan presiden persatuan tersebut dalam pemilihan akan datang.

"Jangan bermain politik dalam sukan kerana ia akan mematikan sukan tersebut...tujuan saya berada dalam persatuan ini adalah untuk membantu sukan angkat berat negara sedaya yang saya mampu.

"Tidak sangka individu tersebut sanggup menuduh saya tanpa bukti kukuh dan menghebohkan kepada media, sebelum datang untuk mendapatkan kepastian," katanya kepada pemberita bagi mengulas dakwaan tersebut di lobi Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, Rabu.

Menurut laporan media tempatan baru-baru ini, Ong dikatakan menggunakan wang persatuan yang disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM30,000 untuk kepentingan peribadinya.

Ong menjelaskan wang yang diterimanya itu adalah bagi menggantikan wang pendahuluan daripada poketnya bagi membayar denda yang dikenakan Persatuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) terhadap persatuan itu sebanyak SD15,000 (RM45,424) ekoran kegagalan atlet negara dalam ujian doping pada beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Beliau berkata jika denda itu tidak dijelaskan, atlet angkat berat negara akan menghadapi hukuman penggantungan, daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa.

Justeru, Ong menegaskan beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit yang bertanggungjawab membuat dakwaan itu.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!