28 November 2014


OPEC memutuskan untuk mengekalkan sasaran pengeluaran 30 juta tong minyak sehari.

Perkara itu dimaklumkan sejurus selesai mesyuarat menteri minyak angggota OPEC di Vienna.

Setiausaha Agungnya Abdalla El-Badri memberitahu bahawa OPEC akan memerhati pergerakan pasaran dan akan membuat keputusan berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia.

Susulan pengumuman itu, harga minyak terus jatuh lebih dua dolar kepada 74.90 dolar setong.

Untuk rekod harga minyak bagi tempoh sama tahun lepas ialah 115 dolar setong.

Begitupun keputusan untuk mengekalkan sasaran pengeluaran sudah dijangka.

Sebelum ini Arab Saudi membayangkan mahu mengekalkan kadar pengeluaran walaupun beberapa negara lain mahu pengeluaran dikurangkan untuk menaikkan harga komoditi itu.

OPEC dianggotai 12 negara pengeksport minyak mewakili satu per tiga keluaran minyak dunia.

Sementara itu trend harga minyak mentah di pasaran dunia sejak 1 Nov lepas dijangka mempengaruhi penurunan harga petrol RON95 di pam dalam lingkungan antara tiga atau empat sen berbanding harga semasa pada 1 Disember ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Alias Ahmad berkata trend penurunan harga minyak mentah serta kenaikan terlalu kecil harga tiga hari lalu, dijangka tidak akan menjejaskan harga purata minyak secara keseluruhannya bagi bulan November.

Pada masa ini, harga runcit petrol RON95 adalah RM2.30 seliter manakala diesel RM2.20 seliter.

"Saya tidak kata akan turun, tapi (jika) mengikut trend, ya. Kita melihat dalam tiga hingga empat sen lebih rendah daripada harga di pam (sekarang)," katanya mengulas kemungkinan harga RON95 akan turun pada 1 Disember ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat "town hall" Bajet 2015 kementeriannya di sini, pada hari Khamis.

Minggu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek mengumumkan penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember ini.

Mengulas lanjut, Alias berkata mengikut Economist Intelligence Unit (EIU) Amerika Syarikat (AS), harga minyak mentah dijangka menyaksikan trend penurunan sehingga tahun depan.

Katanya, unjuran EIU itu mengambilkira perkembangan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC), kontrak minyak mentah Brent dan kontrak minyak penanda aras di AS, West Texas Intermediate (WTI).

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!