9 November 2014


Minggu lalu, dua sepupu di Kampung Gong Penaga, Besut yang tidak bertegur sapa selama 32 tahun, mengambil keputusan untuk berbaik-baik dan melupakan perbalahan yang tercetus antara bapa mereka akibat perbezaan politik. Mereka berpelukan dan saling bermaafan. Menyedari sengketa yang diwarisi itu tidak menguntungkan, malah bercanggah dengan tuntutan Islam, Raja Husin Raja Ismail, 52, dan Tuan Yusof Tuan Long Soh, 61, menautkan semula ikatan kekeluargaan mereka, yang berjumlah 60 orang.

Menurut laporan akhbar, UMNO Terengganu sedang berusaha menyatukan hubungan muslimin dan keluarga terpisah berpuluhan tahun kerana fahaman politik melalui Program Kasih Bertaut. Ini satu usaha yang murni.

Demi kuasa, PAS mengamalkan politik takfir dan kebencian sejak tahun 1960-an. Kemuncaknya ialah Amanat Hadi di Banggol Peradong, Terengganu pada tahun 1981. Akibatnya ratusan, malah ribuan keluarga Melayu-Islam berseteru dan putus saudara. Di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang, kehidupan masyarakat yang damai dan harmonis bertukar menjadi antagonistik dan tegang. Kenduri dipulau, surau masjid diboikot, solat dua imam dan pengasingan kubur adalah antara kesannya. Ada pertunangan terpaksa diputuskan, suami isteri bercerai dan keluarga porak peranda kerana perbezaan ideologi politik.

Berkaitan ini, penulis teringat Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, pernah melahirkan kekesalannya kerana gagal melaksanakan hukum hudud di Kelantan ketika menjadi Menteri Besar. Sebelum meninggal dunia, beliau mahu melihat hukum hudud dapat dilaksanakan. Tetapi ini tidak cukup, ada perkara yang lebih utama. Berserta pemimpin PAS lain, Nik Aziz sepatutnya berasa kesal terhadap kerosakan yang berlaku ke atas orang Melayu-Islam negara ini berpunca daripada sikap, pendirian, kenyataan, tindakan dan pelbagai 'fatwa' karut yang pernah mereka keluarkan demi kepentingan politik sempit. Mereka turut bertanggungjawab dan perlu mohon maaf kerana umat Melayu-Islam berpecah belah sejak lima dekad lalu. Mereka seharusnya guna masa pada akhir usia untuk menyatupadukan umat Melayu-Islam. Ini lebih dituntut agama.

Ulama jumud PAS tidak akui orang UMNO sebagai saudara Muslim, selain menganggap orang PAS sebagai golongan beriman yang mendokong perjuangan nabi, manakala UMNO adalah parti sekular jahiliah. Beliau pernah mengisytiharkan bahawa menentang PAS adalah haram mengikut al-Quran (Berita Minggu, 24 April 1994). Ramai masih ingat ulasan Nik Aziz terhadap langkah UMNO meletak guru agama dan ustaz sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum 1995. Beliau menyamakan mereka seperti ahli kitab Yahudi dan Nasrani yang menentang Nabi Muhammad.

Menurut Ustaz Kazim Elias, pegangan agama umat Islam menjadi celaru apabila ahli politik buat fatwa sendiri. Orang PAS panggil orang UMNO kafir, taghut, jahiliah, barua dan pelbagai gelaran buruk. "Saya sendiri dituduh orang UMNO dan difitnah PAS kerana pernah berceramah di rumah Menteri Besar Perak. Mereka panggil saya Ustaz Khinzir. Mereka beritahu anak saya yang Tahun 6 bahawa bapa kamu anjing. Serban, kopiah, jubah mereka pakai, tapi mulut mereka tak boleh pakai. Tuduh orang lain tak solat, tak tutup aurat dan macam-macam gelaran, padahal memaki dan memfitnah orang adalah perbuatan fasik."

Tambah beliau, antara kecelaruan akidah segelintir orang PAS ialah ketika mensolatkan jenazah. "Di kubur, ada yang pegang batu nesan dan berkata: Jangan soal banyak-banyak, dia (si mati) ni geng kita. Di hadapan mayat di satu masjid, semasa membaca doa selepas solat jenazah, ada yang tambah 'semoga berjaya ke Putrajaya'."

Menurutnya, perkara ini berlaku kerana orang PAS didakyahkan puluhan tahun bahawa pegangan mereka saja yang benar. Mereka ditanam dengan kepercayaan bahawa tolak PAS ialah tolak Islam. Mereka fikir mereka ahli syurga, manakala orang yang tidak bersetuju dengan mereka adalah kafir.

"Mereka ajar isteri boleh dicerai, anak boleh dibuang, muslim lain boleh dimusuhi dan darah mereka halal jika seteru politik. Tapi orang kafir yang berlainan akidah boleh dijadikan kawan semata-mata kerana politik. Pesan saya kepada mereka, ingat firman Allah yakni masuklah Islam dalam keseluruhan, jangan ikut syaitan."

Namun, atas nama tahaluf siyasi, pemimpin PAS sanggup ketepikan perjuangan dan tuntutan agama demi menjaga hati DAP dan PKR. Pada Karnival 'PAS For All' di Shah Alam 21 hingga 24 November tahun lalu, parti itu menampilkan kumpulan pop punk yang pemuziknya berambut panjang, berbaju hitam dan melompat atas pentas macam orang gila. Ini dilakukan kononnya untuk memperlihatkan keterbukaan PAS menarik sokongan orang muda. Tetapi dalam kalangan orang PAS sendiri, ini satu anomali. Ketika berhimpun atau berdemonstrasi, ahli PAS akan menyertai penyokong DAP dan PKR menyorak macam-macam slogan menggunakan melodi lagu Kristian When the Saints Go Marching In sebagai anthem. Jelas, PAS sudah menyimpang jauh dan rosak teruk.

- JUHAIDI YEAN ABDULLAH
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!