20 November 2014


Seorang lelaki yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah, maut setelah ditembak seorang pemilik haiwan ternakan ketika lelaki tersebut cuba mencuri lembu miliknya di ladang kelapa sawit Sungai Terah di sini, hari ini.

Kejadian pukul 6 pagi itu mengakibatkan Mohd. Khairul Anuar Abd. Ghani, 33, yang berasal dari Paloh 2 dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam kejadian itu, pemilik ternakan tersebut yang juga seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berusia 48 tahun sedang melakukan rondaan bersama penduduk kampung berikutan terdapat beberapa kes kehilangan lembu miliknya sebelum ini.

Mereka kemudian ternampak sebuah pacuan empat roda (4WD) Mitsubishi Pajero memasuki kawasan ternakan lembu pada pukul 2 pagi dan cuba mengejarnya tetapi tidak berjaya.

Kira-kira empat jam selepas itu, pemilik ternakan berkenaan terserempak sekali lagi kenderaan tersebut di tengah jalan ladang di situ lalu cuba menghalangnya.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, berikutan itu, kenderaan suspek memecut tetapi terbabas semasa melalui satu selekoh.

Katanya, pemandu kenderaan tersebut kemudian melarikan diri tetapi suspek keluar dan bertindak melibas parang ke arah pemilik ternakan itu.

“Bagi mempertahankan diri, pemilik ternakan tersebut melepaskan satu das tembakan rambang ke arah suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kata beliau, hasil pemeriksaan terdapat seekor lembu yang telah mati di dalam kenderaan tersebut dengan keadaan kakinya terikat, dipercayai disuntik bahan pelali.

Katanya, pemilik lembu itu didapati mempunyai lesen menggunakan senapang dan telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 304 kanun keseksaan dan Seksyen 379 kanun keseksaan.

Sementara itu seorang lagi pemilik lembu, Raja Azmi Ramli, 54, berkata, kes kecurian lembu kerap berlaku di ladang tersebut menyebabkan penduduk kampung berpakat untuk mencari dalang­nya.

“Kejadian ini bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini 30 ekor lembu telah hilang dan terbaharu, tiga ekor lagi hilang. Kami memutuskan untuk membuat rondaan di ladang itu sejak tiga hari lalu,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!