19 November 2014


Golongan perokok disifatkan sebagai berada dalam kalangan kelompok pesakit mental yang perlu diberikan rawatan.

Dekan Fakulti Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan, Pahang, Prof. Dr. Mohamad Haniki Nik Mohamed berkata, hal itu kerana golongan perokok mempunyai masalah ketagihan yang sangat tinggi.

Beliau juga menyifatkan bahawa perokok mengalami penyakit ketagihan berpanjangan yang berulang.

“Dari segi mental, perokok mempunyai masalah kerana mereka tidak boleh jika tidak menghisap rokok. Ketagihannya berada pada kadar yang tinggi walaupun sedar bahawa rokok itu membahayakan kesihatan.

"Berdasarkan kajian, golongan perokok juga adalah yang paling ramai mendapatkan khidmat kesihatan, sama ada di hospital kerajaan atau pun swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada sesi bertajuk 'Rokok Pemusnah Ummah' dalam Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan 2014 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng dekat sini semalam.

Menurut Mohamad Haniki, kajian terbaru menunjukkan terdapat kira-kira 7,000 bahan kimia berbahaya terkandung dalam rokok yang 70 daripadanya merupakan bahan penyebab kanser.

Katanya, enam daripada lapan penyakit berbahaya seperti sakit jantung, kanser dan strok boleh disebabkan oleh tabiat merokok.

“Selain itu, sebagai seorang Islam, kita juga perlu sedar bahawa hasil kajian pada 2010 menunjukkan penggunaan darah babi dalam penghasilan rokok,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa Sedunia, Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar pula menjelaskan bahawa terdapat beberapa sebab kukuh mengapa rokok difatwakan haram.

“Rokok bukan sahaja memudaratkan diri sendiri tetapi orang sekeliling termasuk keluarga kita dan Islam mencegah kita melakukan kemudaratan.

“Menghisap rokok juga merupakan pembaziran kerana duit yang kita gunakan bukanlah untuk kebaikan, tetapi kemudaratan. Rokok juga membawa kemudaratan kepada Islam kerana membantu menguatkan musuh kita iaitu Israel,” kata beliau.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!