18 November 2014


Juara angkat berat dunia, Rade Savic yang dalam misi mempromosikan keamanan sejagat menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan berjaya mewujudkan integrasi nasional dengan baik.

Menurut Savic, keamanan di sebalik kepelbagaian agama dan budaya rakyat negara ini perlu menjadi contoh kepada negara asalnya, Serbia yang masih dalam pembentukan selepas merdeka sebagai sebuah republik pada 2006.

“Malaysia adalah contoh terbaik dan perlu dijadikan ikutan dalam mewujudkan integrasi nasional serta keamanan yang berkekalan. Keseluruhan masyarakat termasuk saya, selebriti, media dan organisasi perlu terlibat sama dalam projek mempromosikan keamanan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena lawatannya bersama pelari solo wanita negara, Suwaibah Muhammad Nasir di ibu pejabat Kumpulan Utusan, di sini hari ini.

Kehadiran mereka disambut Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Pengarang 1 Kosmo!, Mohd. Nor Abdul Samad dan Pengurus Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan, Syed Agil Syed Jaafar.

Kedua-duanya yang merupakan duta keamanan untuk projek 1 World 1 Hope-United for Sustainable Peace berkongsi pengalaman masing-masing untuk mempromosikan keamanan di seluruh negara melalui Program Jelajah Kemanusiaan yang bermula Khamis lalu sehingga 28 November depan.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan Powerlifting Para Malaysia dan Kelab Sukan Copranita Malaysia serta mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.

Sementara itu, menurut Savic, penglibatan Malaysia dalam pelbagai misi kemanusiaan di seluruh dunia berjaya membela nasib masyarakat dunia termasuk penduduk di negara asalnya.

“Saya bertemu dengan Suwaibah ketika dia bersama kumpulannya membuka pusat bantuan di negara saya yang pertama kali dilanda banjir terburuk dalam tempoh lebih 100 tahun.

“Selepas itu, kami bersama dalam beberapa projek yang berjaya mengumpul dana untuk disalurkan ke kawasan luar bandar di Serbia yang penerimanya daripada pelbagai etnik kerana melalui cara itu kami juga berjaya mempromosi integrasi nasional,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!