19 November 2014


Manuel Neuer mengecam Cristiano Ronaldo dengan mendakwa bahawa bintang Real Madrid itu akan memenangi anugerah Ballon d’Or kerana imejnya lebih ketara daripada skil permainannya.

Penjaga gol Jerman diang­gap antara calon pilihan untuk anugerah itu tahun ini namun dalam beberapa perkara dia masih jauh di belakang calon pilihan, Ronaldo.

Neuer membayangkan peluangnya untuk menang tidak begitu cerah memandangkan gaya hidup penjaga gol berkenaan tidak seperti Ronaldo. Dia tidak menghadiri mana-mana acara ‘karpet merah’ atau menerima tawaran menjadi model seluar dalam.

“Saya seorang ahli sukan bukan duta jenama selain daripada menjadi penjaga gol pertama untuk Adidas,” kata Neuer. “Saya bukan lelaki yang bergambar dengan seluar dalam.”

“Saya tidak suka acara karpet merah. Saya lebih suka berada di rumput hijau dan selesa berada di atas padang dan cuba menjadi yang terbaik semampu boleh.”

Neuer adalah pemain utama pasukan Jerman yang membantu pasukan itu merangkul gelaran Piala Dunia Brazil dan mungkin menjadi satu-satunya pemain daripada skuad itu yang memenangi anugerah individu.

Namun penjaga gawang Bayern Munich percaya peluang penjaga gol memenangi anugerah individu adalah tipis.

Anugerah Ballon d’Or tidak pernah dimenangi penjaga gol sejak 1963 dan hanya dua pemain pertahanan pernah memenanginya sepanjang 20 tahun lalu.

“Selepas perlawanan perkara utama yang akan mereka sebutkan adalah gol, peluang dan bantuan,” jelas Neuer. “Penonton tidak akan cenderung mengingati penjaga gol yang berjaya menyelamatkan percubaan berbahaya dengan mengambil risiko besar atau mengatur corak permainan daripada belakang.”

Ronaldo menjadi calon pilihan memenangi anugerah Ballon d’Or buat kali ketiga dan yang kedua berturut-turut namun berdepan cabaran dari Neuer dan pemenang empat kali Lionel Messi.

Dua calon utama itu akan berdepan dengan perlawanan persahabatan antarabangsa di Old Trafford awal pagi ini apabila Argentina menentang Portugal dalam perlawanan yang disifatkan sebagai penentuan dua individu utama untuk anugerah itu.

Kedua-dua pemain itu mendapat sokongan pengurus masing-masing dan rakan pasukan menjelang undian dengan pengurus Portugal Fernando Santos menyatakan bahawa ‘dua pemain itu sa­ngat bijak’.

Messi dan Ronaldo, tidak seperti Neuer. Mereka adalah pemain paling terkenal dan paling bernilai dalam pasaran bola sepak dunia dan tidak kira apa yang berlaku di Old Trafford, mereka dijangka akan mendominasi undian.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!