28 November 2014


Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh mengingatkan pemain supaya kekal fokus bagi memburu kemenangan ke atas Singapura, Sabtu ini.

Perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, di sini bakal menentukan kemaraan pasukan ke separuh akhir kancah Piala AFF Suzuki 2014.

Jurulatih itu mengakui mereka kini berada di jalan sehala dan hanya kemenangan sahaja akan menjamin laluan ke kelompok empat terakhir.

"Kami kena fokus 90 minit. Walaupun kami main baik, tapi kalau keputusan mengecewakan, tidak berguna juga. Saya harap pemain dapat mencari kemenangan bagi pastikan kita layak ke separuh akhir," kata Dollah ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad itu di Stadium Bishan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dollah mengingatkan skuad kendaliannya supaya tidak memandang rendah keupayaan negara Seberang Tambak itu yang sah kehilangan tiga tonggak utama pada aksi Sabtu ini.

Mereka adalah perancang tengah, Shahdan Sulaiman yang retak buku lali pada aksi kedua menentang Myanmar di Stadium Nasional, semalam yang menyaksikan mereka menang 4-2.

Pemain sayap kanan, Ismadi Mukhtar pula mengalami kecederaan pangkal paha manakala pemain pertahanan, Baihakki Khaizan digantung satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning.

Dalam pada itu, Dollah nyata terkilan selepas mereka tidak dibenarkan menjalani sesi latihan terakhir di Stadium Nasional esok sebelum berhadapan Singapura.

Beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada saat-saat akhir bahawa pemilik stadium, Singapore Sports Hub hanya membenarkan stadium berkenaan digunakan pada hari perlawanan bagi menjaga kualiti padang rumputnya.

PEMAIN Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin (tiga dari kiri) bersama rakan sepasukan menjalani latihan sambil diperhatikan Dollah Salleh (dua dari kanan) pada sesi latihan Piala AFF Suzuki 2014 di Kompleks Sukan Bishan, Singapura, hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
"Kita kena terima keputusan ini cuma saya kurang berpuas hati kerana pemain saya tidak dapat mencuba padang di Stadium Nasional," jelas Dollah.

Berkongsi pandangan sama adalah penyerang veteran negara, Mohd Safee Mohd Sali yang menyifatkan pasukan Singapura mempunyai barisan pemain pengganti yanglengkap walaupun ketiadaan khidmat tiga pemain utama mereka.

Penyerang kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu turut menyeru rakan sepasukan supaya melupakan kekalahan tipis kepada Thailand, semalam dan kekal fokus sepenuhnya menentang Singapura nanti.

"Saya masih yakin kita mampu mara ke peringkat seterusnya dengan corak permainan yang ditunjukkan amat baik.

"Dari situ, kita akan bertambah yakin dan kita lihat Singapura tidak sekuat dulu.

"Saya akan terus menggandakan usaha di jentera serangan dan saya harap rakan sepasukan beri bantuan kepada saya untuk menjaringkan gol pada perlawanan itu nanti," jelas Mohd Safee yang menyifatkan pertemuan dua negara berkenaan adalah satu perlawanan penuh bersejarah.

Malaysia tidak mempunyai pilihan lain selain menundukkan Singapura sekiranya berhasrat meneruskan perjuangan mereka pada kejohanan ini.

Singapura pula hanya memerlukan keputusan seri untuk mengiringi Thailand yang sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas meraih dua kemenangan.

Thailand mengalahkan Singapura 2-1 pada aksi pembukaan, Ahad lepas di Stadium Nasional sebelum menundukkan Malaysia 3-2 pada aksi penuh dramatik di Stadium Jalan Besar, semalam.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!