24 November 2014


Tasik Chini yang merupakan tasik semula jadi ke­dua terbesar di negara ini dikhuatiri bakal menjadi sejarah jika aktiviti pembalakan, perlombongan dan perladangan di persekitarannya dibiarkan berlaku secara berleluasa tanpa kawalan.

Ini yang diluahkan penduduk Orang Asli etnik Jakun yang melihat setiap perubahan kepada tasik itu sebagai sesuatu yang cukup merungsingkan terutama pada musim hujan berikutan hakisan tanah yang kerap berlaku.

Menurut Tok Batin Kampung Gumum, Awang Alok, 74, dia dapat membayangkan generasi seterusnya mungkin tidak dapat merasai kedamaian dan keindahan tasik legenda itu seperti yang dilaluinya satu ketika dahulu.

“Keadaan air di tasik berkenaan semakin keruh dan pokok teratai yang tumbuh di permukaan air kian pupus.

“Bukan itu sahaja, keadaan tasik semakin mengecil dan air menjadi semakin cetek akibat pembangunan dan penerokaan di sekelilingnya yang diburukkan akibat pembinaan empangan (baraj) di hujung tasik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Awang, air di tasik berkenaan tidak boleh mengalir seperti dahulu sejak terbinanya empangan itu yang menyebabkan segala kelodak berkumpul dan akhirnya air menjadi keruh.

“Keadaan bertambah buruk ketika musim hujan apabila air dari atas bukit yang digondolkan mengalir bersama ranting-ranting pokok menyebabkan tebing tasik semakin terhakis.

“Bila keadaan ini berlaku, air tasik menjadi tercemar ditambah pula dengan botol-botol plastik dan sampah yang dibuang dengan sewenang-wenangnya.

“Bukan itu sahaja, beberapa perkampungan di pulau berhampiran seperti Kampung Melai, Kampung Cendahan dan Kampung Tanjung Puput turut terjejas termasuk rumah mereka mudah ditenggelami air,” jelasnya.

Bagi Sahril Din, 27, dia cukup kecewa dengan keadaan sedemikian dan berharap pihak berkaitan segera bertindak untuk menyelamatkan Tasik Chini.

“Saya sedih dan terkilan dengan keadaan sedemikian. Bayangkan tempat saya bermain satu ketika dahulu mungkin hilang. Tasik ini tempat saya mandi-manda dan menangkap ikan.

“Dulu saya tak pernah membeli ikan. Air cukup jernih dan boleh nampak ikan-ikan di dasar tasik malah rasa ikan cukup sedap. Sekarang cukup saya katakan teh tarik lebih cantik warnanya berbanding air di tasik berkenaan,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.

Lipis Mamat, 56, sependapat dengan Sahril sambil memberitahu air tasik berkenaan yang dahulu kebiru-biruan merupakan sumber utama penduduk Orang Asli di situ untuk minum, mandi dan membasuh pakaian.

“Perubahan air sekarang cukup ketara, berbanding dahulu, air cukup bersih sehingga boleh terus dibuat minum. Air tasik kira-kira 30 tahun lalu lebih bersih daripada air paip sekarang.

“Dahulu tiada seorang pun akan membuang sampah di dalam tasik dan masing-masing mempunyai tanggungjawab menjaga tasik, jika dibandingkan dengan sekarang kerana dahulu air tasik ini adalah sumber utama kami,” kata nenek kepada 20 cucu dan dua cicit itu.

Tambah Lipis, besar harapan masyarakat Orang Asli dari etnik Jakun itu jika ada pihak yang dapat mempertahankan dan menjaga Tasik Chini agar generasi akan datang dapat melihatnya.

“Kami tidak tahu di mana tempat untuk mengadu. Cukup saya katakan cukup-cukuplah penerokaan seperti perlombongan bijih besi dan perladangan di kawasan persekitaran jika mahu keadaan kembali pulih,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!