28 November 2014


MUAR  – Seorang pengusaha gula Melaka cedera parah akibat disimbah air panas dan dipukul dengan cota oleh menantu angkatnya dalam kejadian di Batu 18 1/4, Ayer Hitam, di sini semalam.

Lelaki malang berkenaan, Mohd. Noor Abdullah, 55, atau lebih dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai Wak Jamil Gula Melaka, diperlakukan sedemikian selepas bertengkar berhubung soal kewangan dengan menantu angkatnya kira-kira pukul 4 pagi.

Mangsa yang tinggal bersama anak angkat dan suaminya itu, dipukul dengan cota di kepala sebelum disimbah dengan air panas dan keadaan itu disedari salah seorang saudara yang tinggal berdekatan selepas mendengar jeritan mangsa.

Biras mangsa, Rubiah Manaf, 57, berkata, saudaranya itu tidak berani untuk membuka pintu kerana bimbangkan keselamatan dirinya berikutan sifat menantu angkat mangsa yang agak agresif sebelum ini.

"Sebaik sahaja membuka pintu, dia terkejut melihatkan keadaan Wak Jamil yang berlumuran darah, tidak bermaya dan dalam keadaan merangkak meminta pertolongan," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Difahamkan mangsa yang tidak mempunyai anak dan kematian isterinya sejak dua tahun lalu itu tinggal dengan anak angkat dan suaminya itu dan mangsa sering pulang lewat berikutan menjalankan perniagaan membuat gula Melaka di Sungai Balang.

Rubiah berkata, ekoran itu saudaranya mengejutkan beberapa lagi saudara lain yang juga tinggal berhampiran untuk membantu dan menghantar mangsa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan selain membuat laporan polis.

Tambahnya, kesempatan itu diambil menantu angkat Mohd. Noor untuk melarikan diri bersama keluarga malah sempat mencuri dompet mangsa yang kini berada dalam keadaan stabil walaupun masih memerlukan bantuan pernafasan akibat kecederaan parah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Muhammad Hanif Othman ketika dihubungi berkata, siasatan masih dilakukan dan suspek kini sedang diburu.

Menurut beliau, semakan rekod mendapati suspek juga mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!