26 November 2014


HARIMAU Malaya wajib menang ke atas Thailand pada aksi kedua peringkat Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Jalan Besar, Singapura hari ini.

Jika berjaya mencatat kemenangan, ia bakal membuka laluan untuk melangkah ke pusingan separuh akhir dan jika tewas, ia bererti mereka menempah maut.

Aksi hari ini merupakan misi hidup mati buat skuad kendalian Dollah Salleh itu kerana selepas mengharungi satu perlawanan, mereka sekadar mengutip satu mata hasil keputusan seri tanpa jaringan pada aksi pembukaan menentang Myanmar pada Ahad lalu.

Thailand pula selesa mengetuai kedudukan Kumpulan B dengan tiga mata hasil kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Singapura pada aksi pembukaan, Ahad lalu.

Dollah tiada pilihan lain, kecuali menang walaupun dia menyedari Thailand bukan pasukan yang mudah untuk dijinakkan.

Jika prestasi ketika menentang Myanmar terus menjadi amalan pada perlawanan hari ini, ia bermakna Harimau Malaya mengundang padah memandangkan Thailand memiliki gaya permainan yang pantas dan terancang.

Apa yang pasti, perlawanan hari ini bakal menjanjikan persaingan sengit kerana kedua-dua pasukan memiliki misi yang sama, iaitu untuk meraih kemenangan.

Thailand memburu kemenangan kedua bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir lebih awal.

“Kami akan turun dengan misi untuk menang. Kami tidak boleh beraksi sambil lewa kerana Thailand bukan calang-calang pasukan. Mereka nampak lengkap di semua posisi dan kami harus bijak mematikan langkah mereka (Thailand).

“Saya mahukan semua pemain tampil dengan aksi lebih bertenaga dan tidak mensia-siakan peluang untuk menggegar gawang lawan,” jelas Dollah yang belum memutuskan lagi siapa yang bakal diturunkan dalam kesebelasan utama hari ini.

Jentera tengah bakal dirombak selepas Gary Steven Robbat digantung satu perlawanan ekoran menerima kad merah pada aksi menentang Myanmar, Ahad lalu.

Dollah kini ada dua pilihan sama ada untuk menurunkan Safiq Rahim atau Baddrol Bakhtiar mengisi kekosongan tersebut.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!