10 November 2014


Seiring dengan anjakan usia, rasional, barangkali pelakon yang terkenal dengan seksi dan kontroversi Zarina Anjoulie Lavocah ini sudah matang merencana hidupnya ke arah yang lebih dewasa. Kalau sebelum ini, hadirnya lebih banyak berkisar dengan kontroversi melanggar tata budaya dan moral, 

Zarina akui, sukar untuk dirinya membuang teras imej buruk yang melekat kuat terhadap dirinya. Melewati perjalanan kerjaya sebagai seorang pelakon sejak dikenali menerusi drama berjudul Anak Pontianak, profil publisiti Zarina tidak banyak yang bercerita mengenai hal-hal positif. Justeru apabila Zarina membuat keputusan untuk kembali membina nama menerusi kemunculan semulanya dalam filem arahan Mamat Khalid, Amir & Loqman Pergi Ke Laut, imej buruk kembali menghantui hidup wanita ini. 

Barangkali ada yang menunggu, apa lagi ya cerita tidak bermoral yang Zarina mahu bikin sebagai tajuk utama buat pembaca? Empunya diri cuma mampu tertawa kecil sambil melayangkan pandangan bersahaja. “Saya muncul semula bukan untuk mencipta kontroversi. Sudah-sudahlah cerita ‘panas’ mengenai saya sebab kebanyakannya tak betul,” ujar Zarina. Sedikit info - hampir dua tahun juga Zarina mendiamkan diri daripada sebarang projek seni lakon, tidak cuma pada layar kaca tetapi juga merangkumi pendedahan publisiti di ruang-ruang media tempatan. 

Sehinggalah September lalu tiba-tiba nama Zarina muncul kembali menghangatkan persada seni dengan cerita kononnya dia sudah berkahwin dengan seorang Awang Hitam. Tetapi kita ketepikan dahulu cerita mengenai Awang Hitam itu kerana Zarina pada saat ini lebih selesa mahu menjelaskan mengenai kononnya dia hilang dari dunia hiburan lantaran malu kerana dirinya terus diselubungi ‘kisah hitam’ termasuk dikaitkan dengan dadah. 

Alasan Zarina, dia telah membulatkan tekad untuk tidak muncul di media massa ketika dalam tempoh itu kerana mahu memberi laluan agar situasi reda dan tenang dengan sendirinya. “Ya, boleh dikatakan itu adalah sebahagian daripada susunan strategi saya. Ketika itu keadaan sangat panas dengan kontroversi palsu melibatkan saya disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. 

“Yang saya boleh lakukan ketika itu ialah melarikan diri seketika dan biarkan perkara itu berlalu lenyap. Saya diamkan diri kerana merasakan itu yang terbaik untuk menjernihkan keadaan. “Saya kena kawal keadaan itu kerana kalau saya membuat sebarang kenyataan pada waktu itu berkemungkinan akan memburukkan lagi keadaan. Pada masa yang sama, saya buat pertimbangan mengenai kerjaya saya,” jelasnya. 

Bawa diri ke luar negara Memikirkan bahawa cara terbaik adalah 'lenyap’ sekejap dalam industri hiburan tanah air, Zarina mengatur langkah ke Indonesia, Singapura termasuk Hong Kong untuk terlibat dengan pelbagai peluang karier peragaan di sana. Menerima banyak tawaran menarik dengan bayaran yang lumayan, 

Zarina tahu itu adalah antara cara untuk dirinya melebarkan sayap kerjaya di samping melupakan sebentar cerita-cerita panas dirinya yang bertebaran di dalam negara. “Saya diam saja tak bermaksud saya goyang kaki tak buat apa-apa. Saya ulang-alik ke Indonesia, Singapura dan Hong Kong untuk meraih peluang karier yang ada. Kebanyakannya untuk majalah. 

Tapi itu tak bermaksud saya lari. “Cuma kebetulan tawaran datang ketika hal kontroversi timbul. Tetapi saya ada sahaja di sini, cuma tidak mahu muncul dalam mana-mana ruang publisiti tempatan buat sementara waktu. “Kontroversi menghimpit saya secara berturut-turut ketika itu, saya tak ada pilihan lain kecuali teruskan hidup saya dan buat kerja saya,” katanya. 

Kongsi Zarina lagi, dia berjanji dengan dirinya untuk cuma kembali muncul di media tempatan apabila dia telah benar-benar bersedia dan ada bahan produk lakonan yang mahu dibual dan dipromosikan. Rimas Menyelami rasa hatinya Zarina memberitahu , dia tidak menolak segala macam kontroversi yang melibatkan dirinya sebelum ini membuatkan dirinya tidak tenang. 

Selain rimas dia akui, muak dengan cerita bukan-bukan yang keluar menghimpit dirinya sedangkan baginya kenapa perlu orang cuma menghalakan fokus kesalahan dan label artis panas kepada dirinya? “Cuba fikirkan, banyak lagi artis lain yang buat salah, kontroversi sana sini termasuk seksi, apa anda fikir mereka tidak bosan balik-balik cerita saya saja yang keluar di media? 

Bagilah peluang pula kepada artis lain untuk keluar di media. Ini tidak, asyik saya saja yang seksilah... apalah... saya pun muak dengan cerita yang sama. “Paling tak suka apabila cerita tak betul mengenai saya dijadikan bahan. Itu yang buat saya rimas. Merepek saja gosip yang keluar termasuk cerita saya kahwin dengan lelaki Negro itu. 

Masa itu, saya di Ipoh, Perak menjalani penggambaran dengan Mamat Khalid. Bila masa pula saya kahwin?" tanyanya. Jernihkan imej Mengumpul segala kekuatan diri untuk kembali menyinar dalam ruang hiburan, Zarina tahu ada yang skeptikal dengan kehadirannya untuk kembali beraksi di lapangan seni tempatan. “Orang akan bertanya, apa lagi selepas ini Zarina? Seolah-olah mereka sedang tunggu saja apa lagi cerita panas atau kontroversi yang Zarina akan buat. Mungkin mereka sudah letakkan jangkaan untuk itu. 

“Tetapi saya tak boleh halang atau salahkan mereka apabila berfikiran begitu sebab mereka hanya tahu apa yang mereka baca di media. Saya tak boleh kawal perspektif yang masyarakat buat terhadap saya sebab itu terpulang kepada pembaca itu sendiri. “Pada masa yang sama saya juga faham pengamal media hanya menjalankan tanggungjawab mereka sahaja. Cuma yang saya harapkan ialah, hentikanlah sebar cerita yang tak betul mengenai saya. Itu saja,” katanya. 

Sedar bahawa adakalanya isu negatif boleh diputar pada sudut pandang yang positif, dia bagaimanapun tidak meletakkan seratus peratus persetujuan mengenai hal itu. “Bagi saya, apa sahaja isu negatif yang keluar, itu tetap negatif terutama bagi saya yang tidak cuma menjadikan lakonan sebagai sumber pendapatan. “Saya juga terlibat dalam dunia perniagaan. Untuk orang bisnes, sebarang isu negatif sukar untuk ditukar menjadi perkara yang positif. 

Terutama bagi saya yang terlibat dalam dunia pembangunan hartanah sebagai satu lagi cabang karier saya selain lakonan. “Percayalah, sedikit sebanyak itu menjejaskan imej kerjaya saya juga. Lainlah kalau fokus saya hanya kepada bidang lakonan semata-mata. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana hal seperti itu setakat ini tidak berlaku pada saya,” katanya. Zarina yang baru Berulangkali menegaskan bahawa dia mahu kembali ke dalam dunia seni sebagai orang yang baru, 

Zarina akui pokok pangkalnya langkah pertama harus dimulai dengan dirinya terlebih dahulu. Bukanlah seorang yang sulit dan ‘liat’ untuk menerima nasihat daripada orang lain kata Zarina, dia memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk pihak media. Zarina memberitahu, dia percaya orang yang mahu membuat perubahan diri wajar diberi peluang kerana itulah yang paling bermakna bagi diri mereka. 

“Pendapat saya, kalau seseorang itu dianggap punya banyak kelemahan dan kesilapan yang dia sudah lakukan, sebagai masyarakat yang prihatin dan berperikemanusiaan, tergamakkah anda untuk merosakkan lagi hidupnya? “Untuk membina imej yang lebih sihat dan positif, saya memang memerlukan sokongan daripada semua pihak. Bimbing saya ke jalan yang lebih baik. Bukan dengan cara menghentam saya dengan lebih teruk,” katanya. 

Memohon agar dia diberi peluang untuk membina semula nama sebagai pelakon kata Zarina, dia yakin mampu menjadi pelakon yang lebih bermutu kredibiliti. Namun semua itu hanya akan berlaku sekiranya semua pihak tidak terlalu meletakkan keghairahan mencari kesilapannya sebagai seorang artis. “Macam mana saya nak jadi normal kalau semua orang fokus kepada cerita buruk sahaja? Kenalah fikir, saya juga ada keluarga dan kerjaya lain. “Beginilah, saya harap semua orang dapat berfikir bahawa tak semua benda buruk itu akan kekal buruk. 

Bukankah di sebaliknya itu tetap akan ada kebaikan? “Mungkinlah orang tak pernah nampak kebaikan saya sebab mereka sudah dikaburi dengan segala kesalahan yang mereka nampak. “Entahlah bagi saya, setiap orang ada peluang kedua dalam hidup. Sekarang ini apa yang saya boleh lakukan, jangan letakkan kepercayaan seratus peratus kepada orang,” katanya. 

Dalam pada itu, beralih kepada topik teman hidup, Zarina yang kini berusia 28 tahun, bagaimanapun enggan terlalu awal berkata ya untuk melangkah ke alam perkahwinan. Telah memiliki teman lelaki baru yang difahamkan muda beberapa tahun daripadanya, Zarina tidak mahu terlalu awal berbicara soal perkahwinan kerana menganggap dia selesa sahaja dengan keadaan sekarang. “Macam mana nak kahwin, saya sendiri pun asyik berulang-alik ke sana ke mari... sibuk dengan kerja. 

Saya kena pastikan orang yang saya akan kahwini itu benar-benar memahami saya dan kerja saya. Bagi saya perkahwinan bukan sebuah cerita dongeng yang akhirnya semua bahagia. “Perkahwinan itu sebuah institusi yang suci. Kalau nak kahwin, kena serius. Bukan separuh hati. Untuk waktu sekarang, baik saya kerja dulu,” katanya. Saya diam saja tak bermaksud saya goyang kaki tak buat apa-apa. Saya ulang-alik Malaysia-Indonesia-Singapura dan Hong Kong untuk meraih peluang karier yang ada.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!