2 Disember 2014


Kementerian Kerja Raya akan melancarkan satu aplikasi telefon pintar untuk membolehkan masyarakat mengemukakan aduan secara dalam talian mengenai masalah kerosakan jalan dan infrastruktur.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, aplikasi telefon pintar itu akan memudahkan masyarakat berinteraksi dengan pihaknya dan dapat terus mengemukakan aduan daripada lokasi sebenar.

“Menerusi aplikasi telefon pintar ini, masyarakat boleh menghantar gambar secara terus kepada kita untuk diambil tindakan susulan.

“Kementerian Kerja Raya juga menggunakan media sosial untuk berinteraksi dengan masyarakat dan maklumat juga disampaikan melalui Twitter dan Facebook,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Media bersama Menteri Kerja Raya di sebuah hotel di sini malam ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shir­lin; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob; Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim dan Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Othman Mohamad.

Menurut Fadillah, kementeriannya mengambil berat mengenai hubungan baik dengan pihak media agar manfaat bersama dapat dinikmati rakyat.

“Kalau sepanjang 100 kilome­ter jalan Persekutuan itu cuma ada satu lubang sahaja, maka satu lubang itu yang menjadi perhatian media.

“Bagaimanapun, kementerian kami memberi komitmen penuh untuk berkhidmat kepada seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, hanya lebuh raya dan jalan Persekutuan yang tertakluk di bawah kuasa kementeriannya manakala jalan negeri dan jalan kampung terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!