10 Disember 2014


Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said hari ini tampil membuat laporan polis berhubung penya­lahgunaan namanya oleh individu bergelar ‘Datuk’ yang memperdayakan seorang pengurus kilang melibatkan wang sebanyak RM1.8 juta.

Pengurus Kilang Papan Jaya Seberang Takir Sdn. Bhd yang berasal dari Singapura itu dikatakan menyerahkan wang berkenaan untuk mendapatkan kawasan pembalakan di bawah skim kilang papan oleh individu terlibat iaitu ‘Datuk Gulam Fazillah Abd. Khalil’ yang kononnya rapat dengan Ahmad.

Menurut Ahmad, ‘Datuk’ ber­kenaan memperdayakan mangsa bahawa wang tersebut untuk diberikan kepada beliau yang ketika itu masih memegang jawatan pe­mimpin negeri sebagai habuan bagi mendapatkan kelulusan kawasan.

Tegasnya, beliau langsung tidak mengenali atau tidak pernah berurusan dengan ‘Datuk Gulam Fazillah’ itu namun percaya lelaki tersebut berasal dari Pulau Pinang berasaskan nombor kad pengena­lannya.

Beliau memberitahu, perkara itu hanya disedarinya pada September lalu iaitu selepas beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar.

“Saya dimaklumkan oleh seseorang bahawa ada seorang warga Singapura yang marah setelah ditipu sebanyak RM1.8 juta untuk mendapatkan satu kawasan pembalakan dengan menggunakan nama saya.

“Saya minta untuk berjumpa dengan pengurus itu dan mene­rangkan perkara sebenar sambil mengharapkan supaya dia membuat laporan polis. Bagaimanapun, setakat ini, difahamkan dia masih belum berbuat demikian.

“Jadi, saya terpaksa membuat laporan polis terlebih dahulu kerana perkara ini mencemarkan nama baik dan reputasi saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD), di sini hari ini.

Beliau berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera berhubung perkara tersebut bagi membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan.

“Saya kena buat laporan juga sebab kalau tak buat, nanti orang ingat saya yang ambil duit itu,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!