11 Disember 2014


Wisma Putra hari ini memanggil Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Joseph Y. Yun untuk menjelaskan pendirian negara itu terhadap pengekalan Akta Hasutan 1948.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia juga kesal dengan komen yang dibuat Joseph berhubung perkembangan terbaharu akta berkenaan dalam sebuah portal baru-baru ini.

“Memandangkan kedudukan negara ini yang tidak berbelah bahagi terhadap kesederhanaan dan toleransi, Malaysia kecewa Duta AS telah memilih untuk membuat komen yang tidak munasabah ke atas keputusan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada 5 Disember lalu, Joseph memberitahu dia hairan dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan Akta Hasutan dan kelmarin, dia sekali lagi membuat komen dengan berkata, isu berkaitan akta itu mencetuskan keimbangan AS kerana jika digunakan ‘terlalu meluas’ akan melanggar hak asasi manusia.

Dalam pada itu, Anifah berkata, Malaysia menggesa kerajaan AS menghormati hal ehwal dalaman negara ini dan memberikan Malaysia ruang yang amat diperlukan oleh mana-mana negara yang semakin matang demokrasinya untuk memastikan keamanan keselamatan dan kestabilan yang berterusan.

Katanya, Malaysia ingin mengingatkan semua pihak bahawa keputusan berkaitan dengan Akta Hasutan 1948 adalah hak mutlak kerajaan.

“Meskipun pihak luar ada kepentingan mengenai perkara ini, apa-apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan berhubung apa jua akta adalah perkara dalaman dan komen yang tidak munasabah ke atas keputusan kerajaan akan dianggap sebagai campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara ini.

“Akta Hasutan tidak menghalang usaha memperkasakan demokrasi kerana ia adalah langkah pencegahan untuk memastikan tiada pihak mencetuskan ketegangan agama dan kaum yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan di negara ini,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!